Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Baik' kerajaan ada makna, kata PAS
Diterbitkan:  Aug 2, 2017 1:28 PM
Dikemaskini: 5:38 AM

PAS berkata, kerajaan mempunyai helah apabila menangguhkan beberapa cukai dan kenaikan yang sebelum ini dirancang untuk dikenakan kepada rakyat walaupun di atas kertas mereka boleh melakukannya.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata keadaan itu berlaku ketika kemarahan rakyat kepada kerajaan kian memuncak.

Antara yang ditangguhkan, kata Tuan Ibrahim, ialah cukai barangan dan perkhidmatan (GST) ke atas 60 jenis bahan makanan yang sepatutnya dikuatkuasakan tahun ini.

"Kedua, cukai pelancongan yang meluas, termasuk kepada pelancong tempatan.

"Kini cukai tersebut hanya dikenakan pada pelancong luar negara," katanya.

Contoh ketiga dipetik Tuan Ibrahim ialah kenaikan tarif elektrik.

"Tarif elektrik di Semenanjung Malaysia ditetapkan menerusi sistem kawal selia berasaskan insentif (IBR) yang merangkumi mekanisme Pelepasan Kos Ketidakseimbangan (ICPT) dilaksanakan pada Januari 2014.

"Melalui sistem ini, kerajaan boleh menyemak semula kadar tarif setiap enam bulan berdasarkan perubahan harga bahan api dan penjanaan.

"Tempoh untuk pelarasan itu tamat pada 30 Jun 2017 tetapi kerajaan menangguhkan penyelarasan itu setakat ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mahu mandat baru

Tuan Ibrahim yang kini menjalankan tugas presiden PAS menambah, laporan Ketua Audit Negara 2017 menyatakan pungutan hasil kerajaan pada tahun lalu merosot sebanyak RM6.7 bilion, iaitu daripada RM219.1 bilion kepada RM212.4 bilion.

"Jadi tidak hairanlah mengapa wujud cadangan pelaksanaan cukai daripada kerajaan pada tahun ini.

"Mekanismenya sama, iaitu menghisap duit rakyat bagi meningkatkan pendapatan negara sementara kebocoran dan ketirisan terus berlaku," katanya.

Apa yang membingungkan rakyat, katanya, ketika penjawat awam bergelut dengan pemotongan belanjawan, kerajaan terus memberikan hadiah dan ia ditegaskan bukan gula-gula politik sempena pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Contohnya, kata Tuan Ibrahim, ganjaran kepada peneroka Felda yang dianggarkan melebihi RM1 bilion, serta insentif kepada tentera, terutama kepada yang tidak berpencen dan dalam kumpulan B40.

"Semua hadiah ini datang di sebalik keperluan 1MDB membayar IPIC sebanyak AS$1.2 bilion dalam dua ansuran sebelum 31 Disember 2017," katanya.

Namun, menurut beliau, apa yang berlaku itu adalah kerana PRU14 semakin hampir dan BN sedang bergelut untuk mendapatkan mandat baru daripada rakyat.

"Oleh itu, wahai rakyat Malaysia yang belum merdaftar sebagai pengundi, daftarlah sebelum terlambat.

"Undilah PAS dan Gagasan Sejahtera. PAS menjanjikan pentadbiran yang bersih daripada rasuah," katanya.

Lihat Komen
ADS