Paling Popular
Terkini

Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos sedia untuk diambil tindakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung pendedahan beliau membawa masuk 7,000 pengundi luar ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan.

Bagaimanapun kata Jamal, tindakan sama perlu diambil terhadap kepimpinan pembangkang juga.

"Kalau mereka nak siasat atau ambil tindakan terhadap saya, siasat semua sekali, (macam) Lim Kit Siang memindahkan beribu-ribu orang di Gelang Patah, bagaimana pengundi Cina dipindahkan ke kawasan sasaran mereka untuk memenangi kerusi-kerusi Parlimen.

"Apa yang mereka katakan (kepada saya) ini adalah apa yang mereka lakukan pada pilihan raya umum (PRU) yang lepas," kata Jamal kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi di Kuala Lumpur, hari ini.

Jamal berkata demikian mengulas gesaan pertubuhan pendesak reformasi pilihan raya, BERSIH, yang sekali lagi menggesa SPR memastikan tiada manipulasi dan penipuan daftar pemilih.

Gesaan itu dibuat susulan pengakuan Jamal yang dipetik portal The Malaysian Insight pada 31 Julai lalu.

Laporan itu menyebut Jamal mengaku membawa masuk 7,000 pengundi luar ke DUN Sekinchan sebagai persediaan menghadapi PRU ke-14.

Bercakap ketika merasmikan Mesyuarat Pemuda Umno Subang di sebuah sekolah di Sungai Buloh, Jamal mengaku bertemu dengan semua pengundi luar itu dan meminta mereka menandatangani perjanjian mengundi BN dalam PRU yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

Mengulas lanjut, Jamal berkata sebarang tindakan yang ingin diambil mestilah mengikut undang-undang.

"Bagi saya sesiapa yang melanggar undang-undang boleh diambil tindakan, saya tidak ada masalah, sebab apa yang kami lakukan mengikut prosuder dan undang-undang," kata Jamal.

BERSIH membangkitkan peruntukan dalam Perkara 119(1)(b) Perlembagaan Persekutuan bahawa pemilih hanya boleh mengundi di kawasan mereka menginap.

“Perkara 113(1) lebih lanjut lagi memberikan tanggungjawab menyediakan dan menyemak daftar pemilih untuk setiap kawasan kepada SPR,” menurut BERSIH.

Lihat Komen
ADS