Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'1MDB tak bayar bermakna kerajaan gagal'
Diterbitkan:  Aug 3, 2017 12:18 PM
Dikemaskini: 4:23 AM

Kegagalan 1MDB membayar RM2.58 bilion kepada International Petroleum Investment Co (IPIC) seperti dipersetujui dalam perjanjian penyelesaian turut mencerminkan kegagalan kerajaan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Oleh kerana 1MDB sudah diambil alih oleh kerajaan, maka kerajaanlah yang gagal bayar hutang,” kata bekas perdana menteri 22 tahun itu.

Laporan berkaitan kegagalan 1MDB membuat sebarang bayaran RM2.58 bilion kepada firma Abu Dhabi, International Petroleum Investment Co (IPIC).

Jumlah itu telah dipersetujui dalam perjanjian penyelesaian.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Najib bagaimanapun berkata 1MDB mampu membayar dan perkara itu cuma “soal teknikal sahaja bukan soal tidak dapat bayar balik.”

Menulis di blog, Mahathir membangkitkan kenapa perkara itu boleh berlaku.

“Tak ada duitkah kita?

“Bila kita hutang kita perlu ada rancangan untuk bayar. Duit yang dihutang bukan untuk belanja hangus.

“Tentu ada rancangan untuk melabur, untuk dapat keuntungan yang boleh diguna untuk bayar hutang dalam satu jangka masa tertentu.”

Beliau juga berkata jika 1MDB membelanjakan wang untuk membeli aset, sebahagiannya sudah tentu boleh dicarikan untuk membayar hutan.

Lagi pun, katanya lagi, hutang yang perlu dibayar pada 31 Julai hanya separuh sahaja dan sebahagian lagi harus dibayar pada Disember depan.

“Jikalau harga jualan merugikan pun, sebahagian dari pelaburan atau harta boleh dijual cukup untuk bayar hanya separuh dari hutang,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan ke mana sebenarnya wang yang dipinjam 1MDB mengalir?

“Jika tidak rugi kerana pelaburan atau tidak beli harta yang boleh dijual, di manakah duit yang dipinjam berada,” katanya.

“Sekarang Bank Negara mengeluar bon untuk sebanyak RM2.5 bilion. Jika perolehan dari bon mencukupi untuk bayar hutang, soal ke mana pergi wang yang dipinjam masih tidak terjawab. Pinjaman melalui bon perlu dibayar.”

Lihat Komen
ADS