Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Mengundi memilih Pakatan Harapan pada pilihan raya umum ke-14 mungkin menyaksikan Malaysia melantik perdana menteri wanitanya yang pertama, kata timbalan ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Afif Bahardin, dalam satu forum mengenai masa depan politik Malaysia malam tadi.

Bercakap pada sesi TN50x mengenai politik, Afif menegaskan bahawa PKR adalah satu-satunya parti di Malaysia yang kini mempunyai presiden wanita.

"Jadi, jika anda mengundi Pakatan Harapan dalam PRU14 akan datang, anda mungkin mendapat seorang perdana menteri wanita lebih awal daripada tahun 2050," katanya berseloroh.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada hadirin yang menyuarakan aspirasi mereka untuk melihat lebih banyak perwakilan wanita dalam politik Malaysia menjelang tahun 2050.

Sesi malam tadi anjuran Alumni Kelab Umno Luar Negara di Kompleks Karangkraf di Shah Alam di mana Afif berkongsi pentas dengan ahli exco Pemuda Umno Shahril Hamdan, Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam Steven Sim dan Timbalan Ketua Pemuda MIC, R Thinalan.

Mengulas isu yang sama, Shahril berkata beliau percaya bahawa masih perlunya satu bentuk campurtangan melalui sistem kuota untuk perwakilan wanita.

Pada ketika ini, katanya, beliau tidak nampak bagaimana kita dapat mengubah keadaan tanpa campurtangan tersebut.

Mengenai keperluan pemimpin wanita dalam politik, Thinalan juga berkata bahawa MIC kini mempunyai lebih daripada 30 pemimpin wanita bahagian i seluruh negara.

Hanya 3 menteri wanita

Sesi itu bermula dengan ahli panel berkongsi aspirasi peribadi mereka tentang politik Malaysia menjelang tahun 2050 dan moderator - Pengerusi Kelab Umno Luar Negara, Wan Mohamad Hazlin Agil - kemudian membuka ruang bagi para hadirin untuk berkongsi aspirasi mereka sendiri.

Anggota panel membawa penyokong mereka sendiri yang juga kebanyakannya anggota lelaki sayap pemuda parti.

Hadirin wanita yang berkongsi pandangan mereka, bersetuju bahawa ada keperluan untuk meningkatkan perwakilan politik di semua peringkat, dengan seorang daripada menegaskan hanya ada tiga menteri wanita dalam barisan kabinet sekarang.

Seorang lagi bagaimanapun menegaskan bahawa proses pemberdayaan harus bermula dengan menyediakan lebih banyak peluang untuk wanita didengari, termasuk dalam sesi forum yang terus didominasi oleh lelaki.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS