Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Arul jumpa kami kerana politik matang PAS'
Diterbitkan:  Aug 9, 2017 8:30 AM
Dikemaskini: 3:37 AM

Ahli Parlimen Pakatan Harapan mungkin menuntut pertemuan dengan Arul Kanda Kandasamy tetapi Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata presiden dan CEO 1MDB itu bersedia berjumpa dengan PAS mungkin kerana parti itu mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera.

"Barangkali Arul bersedia berjumpa dengan PAS mungkin kerana PAS mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera dan bukannya politik “fitnah dulu, bayar kemudian.”

"Ini bezanya PAS dengan parti-parti politik pembangkang yang lain.
Memang ada beza antara yang mencari solusi dengan yang mencari publisiti," kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan.

Semalam, Tuan Ibrahim dilaporkan berkata beliau berpuas hati dengan pelan rasionalisasi 1MDB selepas pemimpin PAS mendengar taklimat dari Arul.

Tuan Ibrahim mengumpamakan skandal 1MDB seperti 'nasi yang sudah menjadi bubur' dan menegaskan bahawa apa juga yang berlaku kepada pelakunya, hutang 1MDB masih perlu ditanggung oleh rakyat.

"Kalau pun ada kerajaan baru selepas PRU-14 dan semua yang terlibat menyeleweng berjaya ditangkap serta disumbat ke dalam penjara, namun hutang 1MDB masih perlu ditanggung rakyat dan kerajaan yang baru.

"Masalah 1MDB wujud kerana hutangnya dijamin kerajaan dan telah diluluskan oleh mereka yang berkuasa hari ini," tegasnya.

Tuan Ibrahim berkata, dalam taklimat kepada pimpinan tertinggi PAS itu, Arul berkata pelan rasionalisasi 1MDB itu "adalah apa yang boleh beliau buat sekadar mampu untuk memastikan 1MDB tidak lagi perlu meminta suntikan dana daripada kerajaan".

"Jika pelan rasionalisasi 1MDB gagal dan sekiranya 1MDB lewat membayar hutang, ini menyebabkan kos faedah bertambah melebihi AS$1.9 bilion setahun yang perlu ditanggung kerajaan, sama ada kerajaan bertukar tangan atau pun tidak di PRU14," katanya lagi.

Akhirnya, tegas Tuan Ibrahim, yang menanggung akibat itu ialah kerajaan dan rakyat, bukan mereka yang terlibat menyelewengkan dana 1MDB.

"Hatta harta mereka yang terlibat dirampas pun, ia tidak mampu untuk membayar hutang 1MDB," tegasnya.

Walaupun selepas pertemuan dengan Arul itu, Tuan Ibrahim menegaskan bahawa pendirian PAS tidak pernah berubah dalam isu 1MDB.

Malah, katanya, orang pertama yang menyarankan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) terhadap 1MDB ialah presiden PAS sendiri pada 2015.

Beliau juga menggesa Kementerian Kewangan menyediakan dari masa ke semasa maklumat terkini kepada Parlimen mengenai aset 1MDB, yang telah diambil alih oleh kerajaan.

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen
ADS