Serbulah lebih kerap, kata Mahathir

       

Lakukan lebih banyak serbuan - itu kata Tun Dr Mahathir mengulas tindakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyiasat syarikat anaknya kelmarin.

Kata bekas perdana menteri itu, pihak berkuasa seperti LHDN dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dialu-alukan membuat siasatan.

"Saya fikir kita patut adakan serbuan lebih kerap kerana kita juga perlu serbu (Datuk Seri) Najib (Razak), keluarganya, isterinya, anak lelakinya, anak tirinya - semua mereka perlu diserbu.

"Seluruh dunia menyebut tentang Najib tapi (di sini) tak ada serbuan," katanya kepada wartawan dalam sidang media Majlis Pimpinan Pakatan Harapan di parlimen hari ini.

Bekas perdana menteri itu diminta media mengulas mengenai serbuan agensi kerajaan terhadap syarikat anaknya sejak beberapa hari lalu.

Tindakan itu - walaupun perkara yang boleh dilakukan oleh pihak berkuasa negara ini - didakwa mempunyai motif tertentu kerana status Dr Mahathir sebagai seorang daripada pemimpin utama pembangkang.

Ia juga dipertikaikan kerana dibuat beberapa hari selepas pemimpin kerajaan menggesa pihak berkuasa menyiasat kekayaan keluarga Dr Mahathir.

Antara syarikat yang disasarkan LHDN setakat ini ialah Crescent Capital Sdn Bhd yang diketuai Mirzan Mahathir.

Jurucakap syarikat itu mendakwa ada antara lapan hingga 10 orang menyerbu pejabat mereka dan beberapa fail diambil pada Selasa lalu.

Opcom Holdings Bhd yang diasaskan oleh Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut tidak terlepas daripada siasatan.

Syarikat gentian optik itu diketuai adik Mukhriz, Datuk Mokhzani.

Guna nama orang lain

Sumber yang rapat dengan kem Mahathir pula memberitahu Malaysiakini semalam, Kencana Capital Sdn Bhd, sebuah firma modal teroka yang dimiliki oleh Mokhzani, turut diserbu pada Selasa lalu.

Bagaimana Malaysiakini tidak dapat mengesahkan maklumat itu secara bebas.

Dr Mahathir yang kini menjadi pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata rakyat patut tahu lebih banyak maklumat mengenai kekayaan sesetengah menteri.

Katanya, beliau sendiri pernah menyatakan maklumat mengenai harta didakwanya dimiliki Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini.

Sekarang, katanya, salah seorang Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga menyarankan pihak berkuasa menyiasat beliau.

"Jadi saya cadangkan kita juga patut serbu Hishammuddin, kerana kita tahu gaya hidup orang seperti mereka perlu diteliti.

"(Serbuan) juga perlu diperluaskan kepada adik-beradik tokoh itu sebab kadang-kadang mereka menggunakan nama mereka," katanya.

Dr Mahathir yang terkenal dengan komen sinisnya menambah beliau bersikap terbuka untuk disiasat mana-mana agensi penguat kuasa di negara ini.

"Mereka dipersilakan meneliti semua dokumen saya, SPRM juga," katanya.

Mukhriz sudah jangka

Ditanya mengenai pendirian anggota lain HARAPAN, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu, berkata mereka berkongsi pendirian dengan Dr Mahathir.

Untuk rekod pada Mei lalu lagi Dr Mahathir mendakwa LHDN menjadikan rakan-rakannya sebagai sasaran siasatan.

Walaupun beliau tidak mendedahkan sebarang nama, perniagaan yang dimiliki oleh dua sekutu Mahathir - Tan Sri Lee Kim Yew dan Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar - dilaporkan mempunyai masalah berhubung pencukaian.

Mahathir juga mendakwa bahawa penderma atau penyumbang kepada HARAPAN menjadi sasaran secara tidak adil oleh pihak berkuasa.

Perkembangan itu berlaku ketika pemerhati berpendapat parlimen mungkin akan dibubarkan tidak lama lagi bagi membolehkan pilihan raya umum ke-14 diadakan.

Malaysiakini telah cuba menghubungi LHDN mengenai laporan itu dan sedang menunggu maklum balas mereka.

Sementara Mukhriz yang juga anak kelima Dr Mahathir berata beliau memang menjangkakan perkara itu akan berlaku.

“Cadangan (serbuan dibuat) mungkin sejak seminggu lalu, kami dah jangka dan ia akan diteruskan, (siasatan ini) tidak akan dihentikan sebab ia adalah bermotifkan politik," katanya.

Mukhriz yang kini dipilih sebagai timbalan presiden BERSATU bagaimanapun berkata, beliau akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada LHDN.

"Saya rasa mereka menjalankan kerja secara profesional (selepas mendapat) arahan (pihak atasan)," katanya.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda