Lepas Mokhzani - LHDN siasat pula firma Mukhriz, Mirzan

       

Firma-firma yang dimiliki oleh ketiga-tiga anak lelaki Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan menjadi tumpuan siasatan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ketika dihubungi hari ini, seorang eksekutif kanan di Crescent Capital Sdn Bhd, sebuah firma modal teroka yang diasaskan dan diketuai oleh Mirzan Mahathir, mengesahkan LHDN menyerbu pejabat itu pada Selasa lalu.

"Kami diserbu oleh lapan hingga 10 pegawai LHDN dan beberapa fail diambil," kata jurucakap firma itu, yang enggan namanya disiarkan.

Jurucakap Opcom Holdings Bhd - sebuah syarikat gentian optik yang diasaskan oleh Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan diketuai oleh adiknya, Datuk Mokhzani - mengesahkan syarikat itu turut diserbu pada hari yang sama.

Walau bagaimanapun, jurucakap itu enggan memberi sebarang maklumat.

Sementara itu, sumber yang rapat dengan kem Mahathir memberitahu Malaysiakini semalam bahawa Kencana Capital Sdn Bhd, sebuah firma modal teroka yang dimiliki oleh Mokhzani, turut diserbu pada Selasa lalu.

Ini bagaimana pun tidak boleh disahkan secara bebas dengan syarikat itu.

Pada bulan Mei lalu, Mahathir mendakwa bahawa LHDN menjadikan rakan-rakannya sebagai sasaran.

Walaupun beliau tidak mendedahkan sebarang nama, perniagaan yang dimiliki oleh dua rakan sekutu Mahathir - Tan Sri Lee Kim Yew dan Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar - mempunyai masalah berhubung pencukaian.

Mahathir juga mendakwa bahawa penderma atau penyumbang kepada Pakatan Harapan menjadi sasaran secara tidak adil oleh pihak berkuasa.

Malaysiakini telah cuba menghubungi LHDN mengenai laporan itu dan sedang menunggu maklum balas mereka.

[Baca berita penuh]

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda