Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bemula detik 12 tengah hari esok, kesemua 19 plaza tol di lebuh raya yang menghubungkan Karak dan Kuala Terengganu akan melaksanakan sistem kutipan tol secara elektronik (ETC) sepenuhnya, sekali gus mencipta sejarah baru negara apabila tiada lagi kutipan tunai tol di lebuh raya di negara ini.

Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 1 dan 2 merupakan dua lebuh raya paling akhir melaksanakan ETC di negara ini.

Bagi syarikat pemegang konsensi LPT1, Anih Berhad (Anih), persediaan rapi telah dibuat sejak awal lagi untuk memastikan semua sembilan plaza tol di lebuh raya tersebut iaitu Karak, Lanchang, Temerloh, Chenor, Maran, Sri Jaya, Gambang, Kuantan dan Jabor bersedia dengan sistem kutipan baru itu.

"Kesemua 57 laluan di plaza tol terbabit sudahpun dilengkapi sistem ETC sama ada Touch 'n Go mahupun SmartTAG," kata Naib Presiden II dan Timbalan Ketua Pengurusan Tol Anih Ismaliza Ibrahim kepada Bernama baru-baru ini.

Menurutnya sebagai pengendali lebuh raya antara yang paling sibuk di negara ini, Anih turut memastikan kesemua warga kerjanya bersedia untuk berdepan dengan segala kemungkinan termasuk golongan pengguna jalan raya yang 'alah' dengan penggunaan teknologi baru itu.

"LPT1 ini merupakan lebuh raya utama yang menghubungkan kawasan pantai timur dengan ibu negara dan ia akan menjadi sesak terutamanya pada musim cuti sekolah dan musim perayaan.

"Contohnya pada perayaan Aidifitri lepas, purata harian penggunaan Lebuh Raya Karak (KLK) dan LPT1 pada waktu puncak meningkat sebanyak 73.8 peratus kepada 245,000 buah kenderaan berbanding kira-kira 141,000 kenderaan pada hari biasa.

"Sehubungan itu, pelaksanaan ETC ini adalah cara terbaik melancarkan lalu lintas dan mengelakkan kesesakan. Bagi peringkat permulaan kita meletakkan kakitangan Anih di setiap lorong untuk membantu pengguna jalan raya yang sebelum ini gemar membayar tol secara tunai," katanya.

Menurutnya tinjauan dan kajian yang dijalankan oleh Anih mendapati urus niaga tunai lazimnya mengambil masa 15 saat untuk sebuah kenderaan dengan kapasiti 240 buah kenderaan dapat berurus niaga dalam masa sejam.

Namun, menerusi sistem pembayaran kad Touch 'n Go, masa yang diambil hanya enam saat dengan 600 kenderaan dapat melalui lorong tersebut dalam tempoh sejam dan tiga saat untuk pengguna SmartTAG dengan kadar purata 1,000 kenderaan dapat melaluinya bagi tempoh sama.

"Kita tahu ada dalam kalangan pengguna lebuh raya terutama di Chenor dan Maran yang lebih selesa melakukan pembayaran tunai kerana risau dengan baki duit yang tidak habis digunakan dalam kad Touch 'n Go mereka.

"Sebenarnya baki duit itu tidak akan hilang kerana tiada terma tamat tempoh untuk kad dan ia boleh digunakan pada bila-bila masa," katanya.

Menceritakan sejarah migrasi ETC di LPT1, Ismaliza berkata ia bermula pada 2005 ketika lebuh raya itu mula beroperasi dengan 10 lorong Touch 'n Go, tujuh lorong SmartTAG, enam lorong mod campur (tunai dan ETC) serta 22 lorong tunai.

Pada masa itu kadar penggunaan ETC hanya 16 peratus, namun sehingga hujung tahun lepas kadar penggunaan ETC dalam kalangan pengguna LPT1 meningkat sehingga 70.1 peratus dengan bilangan lorong Touch 'n Go dan SmartTAG ditambah kepada 12 dan sembilan lorong masing-masing.

Sehingga Mei lepas, kadar penggunaan ETC di kesemua sembilan plaza tol LPT1 meningkat kepada 74.1 peratus, sekali gus memberi keyakinan pelaksanaan sepenuhnya ETC tersebut akan disambut baik oleh pengguna lebuh raya itu.

"Untuk kemudahan pengguna LPT1, kita turut menyediakan khidmat penjualan kad Touch 'N Go dan tambah nilai di Plaza Tol Karak, Temerloh dan Kuantan, selain di stesen-stesen minyak di kawasan Rehat dan Rawat Temerloh dan Gambang,” katanya.

Sementara itu, seorang pengguna lebuh raya tersebut, Azmi Muhammad, 45 yang bekerja di ibu negara, menyifatkan pelaksanaan ETC akan memberi kelegaan kepada pengguna KLK dan LPT kerana dapat menjimatkan masa selain mengurangkan kesesakan, khususnya pad musim perayaan.

"Saya sering berulang-alik dari Kuala Lumpur dan Kuantan kerana keluarga ada di Kuantan. Walaupun saya sendiri menggunakan SmartTAG, kesesakan masih berlaku terutama di sesetengah plaza tol kerana pengguna tunai tadi.

"Jadi saya merasakan langkah melaksanakan ETC di seluruh plaza tol di negara ini satu tindakan terbaik yang dapat mengatasi masalah itu. Barulah berbaloi kita membayar tol dan aliran trafik pun lancar,” katanya ketika ditemui Bernama.
 

-Bernama

Lihat Komen
ADS