Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM: Keputusan mahkamah bebas Phee jejas siasatan
Diterbitkan:  Aug 14, 2017 7:46 PM
Dikemaskini: 11:51 AM

Keputusan mahkamah membatalkan perintah reman ke atas exco Pulau Pinang telah menjejaskan proses siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kata agensi itu hari ini.

Menurut SPRM, ketika ini pasukan pegawai mereka yang meneliti kes membabitkan Phee Booh Poh sedang giat melengkapkan siasatan kes berkenaan.

Kenyataan SPRM menyebut mereka meneliti pembabitkan Phee dan dua lagi suspek yang terlibat dalam operasi kilang haram di kawasan tanah pertanian di Sungai Lembu, Penanti, Seberang Prai Tengah (SPT) itu.

Justeru SPRM berkata mereka tidak berpuas hati dengan keputusan dibuat Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Abdul Wahab Mohamed yang telah membatalkan perintah reman ke atas Phee.

"SPRM akan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan," kata kenyataan itu.

Phee ditahan SPRM selepas anggota agensi antirasuah itu menyerbu pejabatnya di Komtar, George Town, pada 11 Ogos lalu.

Walaupun pegawai terbabit tidak memberikan sebarang maklumat memang dipercayai ia ada kaitan dengan sebuah kilang tanpa lesen yang beroperasi di daerah SPT itu.

Sehari kemudian Phee yang juga anggota dewan undangan negeri Sungai Puyu kemudian dibawa ke mahkamah majistret George Town dan pendaftar mahkamah, Ameera Mastura Khamis, membenarkan beliau direman selama lima hari.

Turut direman, pengarah kilang Edmund Gan Eu Leong, 37, dan bapanya yang juga pengurus kilang berkenaan, Gan Buck Mee, 70.

Bagaimanapun petang ini Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskan Phee dan dua lagi suspek selepas mengetepikan kebenaran perintah reman yang dikeluarkan Sabtu lalu.

Peguam Phee, RSN Rayer dan Ramkarpal Singh berkata perintah reman lima hari terhadap Phee bukan sesuatu yang lazim kerana dikeluarkan oleh penolong pendaftar mahkamah tanpa mendengar hujah anak guam mereka.

Walaupun begitu SPRM berkata mereka tetap menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini.

Lihat Komen
ADS