Paling Popular
Terkini

ULASAN | Lama tidak menulis mendatangkan keinginan. Namun berbelah bagi juga tentang apa tujuan menulis.

Mahu memekik seperti babi yang sedang disembelih tentang ketidakadilan itu-ini, ia hanya akan menjadi seperti anjing kurap menunggu mati. Hina dan keji, tidak dipeduli, sedangkan kita ini merasa kononya penegak segala yang dipanggil adil.

Drama melayu, bahasa Melayu dan segala kegagalan dalam bangsa ini akan selalunya disebut orang tanpa akan ada perubahan. Ini realiti yang perlu kita terima dengan lapang dada.

Bukan kerana mereka yang terlibat adalah dunggu dan bukan kerana kita ini kononnya cerdik sangat, tetapi setiap orang ada kesukaan masing-masing, dan kesukaan ramai adalah melankolia.

Maka kisah keperitan dan kesengsaraan akan sentiasa menang.

Kegembiraan pula sekadar bonus dalam kehidupan yang jika ada diraikan dan jika tidak kejerihan mejalani kehidupan adalah kegembiraan hakiki.

Perlu amat ianya dihebahkan dalam segala bentuk kerana simpati adalah candu kehidupan.

Politik juga sama. Siapa pun yang memerintah, akan ada pihak yang tidak berpuas hati. Yang menang meraikan dan yang kalah akan sentiasa merungut.

Ditunggu-tunggu ulat dan cacing

Cuma malang bagi kita ialah, mereka yang terlibat dalam politik negara ini adalah orang itu-itu juga. Mereka melompat dari satu parti ke satu parti seperti menukar baju. Tanpa ada rasa bersalah, bahkan seperti siapa pun yang jahat, mereka ada alasan yang mereka rasakan benar.

Yang paling bersalah antara kita, adalah mereka yang tidak menyokong - kata mereka yang berpihak. Justeru, mari bersama kami, atau kamu adalah musuh yang nyata.

Kita pun begini sahaja. Bekerja, berkeluarga dan menunggu masa untuk jadi makanan paling lazat segala ulat dan cacing di dalam tanah.

Itu pun kita masih bangga dengan apa yang sedikit milik kita ini. Kita masih keluh kesah akan kesusahan yang bukan apa-apa. Kita layan perasaan dengan gundah, seperti tiada langsung bahagia yang menjadikan kita gembira.

[Gambar: Lukisan bertajuk "Memikirkan akan tuhan adalah OK wahai yang dimuliakan enchik Zaid Ibrahim", arkrilik atas kanvas. 2017]

Kita mahu yang tidak ada dan tidak pandang pada apa yang sedang kita kecapi.

Baru-baru ini ada video tentang anak muda yang bangun mempersoalkan situasi politik semasa. Secara bersemuka mereka mengherdik Hishamuddin Rais. Dengan lantang mereka mengatakan rasa tidak puas hati terhadap sikap kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ini perkembangan baik. Seharusnya begitulah.

Kita harus bangun dan berhenti daripada terus dibuai nostalgia. Yang salah kita katakan salah, dan yang betul perlu diletak pada tempatnya walau dilakukan oleh siapa pun. Baik hero kita suatu masa dulu atau musuh kita masa kini.

Politik, katanya, sebahagian daripada agama namun apa yang dipanggil politik hari ini tidak lebih daripada perkumpulan orang jahat yang bersengketa demi merebut laba perang. Terpekik terlolong membuka pekung. Dewan rakyat yang dipanggil mulia jadi medan tempur suara.

Kuat ikut nafsu

Masing-masing tegakkan benang basah. Segala buruk dibuka. Segala aib dikongsi. Katanya kerana kepentingan hamba rakyat, walhal sebenarnya semua hanya berusaha menjaga tembolok sendiri.

Apabila berhimpun, masing-masing memuji diri atau kumpulan sendiri jika pun tidak bermaki-makian atau baling kerusi. Politik matang katanya. Matang kepala bana.

Politik yang dimaksudkan agama adalah satu sistem yang membolehkan semua manusia hidup aman di bawah satu kepimpinan yang takut kepada Tuhan.

Manusia paling liberal pun akan beroleh keuntungan besar jika sisitem politik takut Tuhan ini yang duduk di tampuk pemerintahan.

Namun puak LGBT mungkin akan sedikit menghadapi masalah kerana sistem politik takut Tuhan ini selari dengan naluri umum. Ianya sangat mainstream dalam semua hal.

Rebel yang mahukan objek tumpul menusuk lubang najis mereka misalnya, akan beroleh susah kerana ini bukan amalan yang benar, dan kebenaran adalah apa yang mengamankan.

Kamu tahu dan setuju, cuma kamu lebih kuat menurut nafsu.

Cita-cita politik kami hanya satu, yakni semua kita ini bebas parti. Kami percaya hanya ini jalan menuju kepada pemimpin yang bebas korupsi.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan penyair yang sederhana. Juga seorang jurugambar amatur serta seorang ninja dalam latihan.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS