Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kumpulan ateis diingatkan usah resahkan umat Islam

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi amaran kepada golongan ateis supaya tidak menimbulkan keresahan di kalangan orang Islam.

“Saya ingin menasihatkan kumpulan ateis ini jangan cuba timbulkan perkara gelisah rakyat Malaysia terutamanya orang Islam yang menentang orang tak anut apa-apa agama.

“Jangan bangkitkan rasa resah gelisah dengan aktiviti mereka ini.

“Saya bagi amaran pada mereka. Jangan ingat mereka boleh bergerak sesuka hati mereka, mereka kena tengok undang-undang,” katanya.

Khalid berkata kepada pemberita selepas majlis serah-terima tugas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di ibu pejabat polis Bukit Aman hari ini.

Ateis merujuk kepada orang yang tidak percaya pada tuhan.

Khalid turut berkata perlembagaan negara ini mengiktiraf Islam sebagai agama persekutuan, manakala  ateis tidak disebut dalam perlembagaan.

Katanya, perkara itu menyebabkan pihaknya akan mengkaji peruntukan yang ada bagi mengambil tindakan sewajarnya sekiranya golongan tersebut menimbulkan keresahan di kalangan umat Islam.

Sementara itu Khalid ketika ditanya sekiranya golongan itu pula menerima ancaman daripada orang Islam berkata:

“Kalau mereka terima ancaman yang merupakan pelanggaran undang-undang, kita akan menyiasat dan ambil tindakan,” katanya.

Minggu lalu, pembantu khas kepada isteri perdana menteri, Datuk Rizal Mansor melahirkan kebimbangan terhadap isu kewujudan kelab ateis di Malaysia.

Laporan media tempatan menyebut kerajaan akan menyiasat jika terdapat umat Islam menyertai Kelab Atheist Republic Kuala Lumpur yang tular di laman media sosial baru-baru ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata siasatan terperinci akan dilakukan termasuk penglibatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Menurut Asyraf lagi, bidang kuasa berkaitan akidah umat Islam tertakluk bawah enakmen jenayah syariah setiap negeri manakala bagi peringkat Wilayah Persekutuan, ia bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Lihat Komen
ADS