Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah Tinggi kekalkan sabitan Rafizi, hukuman 18 bulan penjara

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengekalkan salah satu sabitan terhadap naib presiden PKR Rafizi Ramli di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan hukuman penjara 18 bulan.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Azman Abdullah membebaskan ahli Parlimen Pandan itu terhadap satu lagi sabitan OSA.

Hakim juga membenarkan penangguhan hukuman, sementara pemfailan rayuan oleh Rafizi terhadap keputusan mengekalkan sabitan tersebut.

Hakim Azman tidak memberikan alasan untuk keputusannya pagi ini tetapi berkata beliau akan menulis alasan penuh jika ada rayuan.

Katanya, mahkamah membenarkan rayuan atas pertuduhan pertama tetapi mengekalkan sabitan terhadap tuduhan kedua.

Sebelum ini, Mahkamah Sesyen telah mensabitkan Rafizi atas dua pertuduhan OSA dan menjatuhkan hukuman 18 bulan penjara, dengan hukuman diperintahkan berjalan serentak.

Pemimpin PKR itu didapati bersalah mendedahkan Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB, tetapi dibebaskan daripada tuduhan memiliki dokumen itu, yang diklasifikasikan sebagai OSA.

Dia didapati bersalah mendedahkan laporan itu semasa sidang akhbar di lobi Parlimen pada kira-kira pukul 3 petang 28 Mac tahun lepas yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 8 (1) (c) (iv) OSA.

Di bawah OSA, seseorang boleh dijatuhi hukuman minimum 12 bulan atau sehingga tujuh tahun penjara.

Dalam penghakimannya, Hakim Azman berkata Hakim Sesi Zulqarnain Hassan menggunakan prinsip yang betul dalam menjatuhkan hukuman 18 bulan penjara.

Rafizi diwakili oleh pasukan peguam, yang diketuai oleh Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Gobind berkata beliau akan memfailkan notis rayuan dengan Mahkamah Rayuan pada hari ini.

"Kami akan mencari tarikh awal untuk rayuan didengar kerana kami yakin anak guam kami tidak sepatutnya didapati bersalah," katanya.

Sementara itu, Rafizi berkata beliau sedar akan akibat daripada tindakannya tetapi bersedia menghadapinya kerana beliau bertindak demi kepentingan orang ramai.

Pemimpin PKR itu berkata beliau tidak akan dapat mempertahankan kerusi Pandan jika rayuan itu tidak didengar sebelum pilihan raya umum akan datang.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS