Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M sedia hadapi RCI Memali pada bila-bila masa

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau bersedia memberi keterangan pada bila-bila masa jika kerajaan benar-benar menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat tragedi Memali.

Kata bekas perdana menteri itu, pendirian berkenaan dibuatnya kerana kebenaran penting untuk ditegakkan.

Selain itu Dr Mahathir mendedahkan beliau mempunyai bukti kukuh berhubung insiden berkenaan yang berlaku hampir 32 tahun lalu.

"Saya tak kira mana-mana (bila-bila RCI Memali diadakan), saya alu-alukan penubuhan RCI sebab kita perlu dengar kebenaran.

"Saya ada banyak bukti tentang Memali kerana saya pada masa itu saya adalah perdana menteri walaupun pada tempoh kejadian Tun Musa Hitam memangku tugas perdana menteri," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri hari kedua sidang RCI mengenai skandal kerugian dialami Bank Negara akibat aktiviti perdagangan mata wang asing (forex) di Istana Kehakiman, Putrajaya, hari ini.

Semalam timbalan Dr Mahathir pada 1985, Tun Musa Hitam, mencadangkan RCI Memali ditubuhkan selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Kena tunggu RCI

Kata Musa langkah itu perlu dibuat dengan niat yang betul, iaitu untuk mencarike benaran serta bebas daripada agenda politik menjelang PRU.

Untuk rekod ketika insiden Memali - pada 19 November 1985 - berlaku Dr Mahathir berada di luar negara, manakala Musa ketika itu turut berkhidmat sebagai menteri dalam negeri.

Pasukan polis berada di bawah kementerian berkenaan.

Ditanya apakah "bukti penting" yang dimaksudkannya, Dr Mahathir berkata, beliau tidak dapat menjawab soalan berkenaan buat masa ini.

"Saya bagi tahu dalam RCI Memali," kata Mahathir ringkas.

Isu untuk RCI Memali dibangkitkan Zahid di dalam Twitternya pada Ahad lalu.

Zahid berkata, kerajaan sedia mempertimbangkan penubuhan RCI itu sekiranya terdapat permintaan atau usul daripada individu, pertubuhan atau parti politik.

Peristiwa Memali yang signifikan kepada PAS berlaku apabila anggota keselamatan cuba menahan seorang pendakwah serta penyokongnya di sebuah kampung di Memali, Baling Kedah.

Bagaimanapun Ibrahim Mahmud - yang lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya - enggan menyerah.

Tetap pimpin HARAPAN

Ketegangan itu membawa kepada pertumpahan darah dan seramai 18 orang meninggal dunia. Empat daripada mereka ialah anggota polis.

PAS menganggap Ibrahim dan penduduk kampung terbabit sebagai mati syahid dan jenazah mereka diuruskan mengikut takrif berkenaan.

Sementara itu ditanya apakah beliau akan melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Pakatan Harapan jika disabitkan bersalah dalam isu skandal forex Bank Negara, Dr Mahathir menegaskan dirinya tidak akan berbuat sedemikian.

"Saya tak terima, ia tidak ada kena mengena dengan politik saya," kata Dr Mahathir.

RCI dibentuk untuk menyiasat kerugian Bank Negara dan implikasinya ke atas ekonomi negara ketika pentadbiran Dr Mahathir sebagai perdana menteri.

Ia juga akan menentukan sama ada pembabitan Bank Negara dalam aktiviti forex melanggar Ordinan Bank Pusat 1958 atau undang-undang lain berkaitan.

Suruhanjaya berkenaan akan menentukan sama ada wujud percubaan untuk menyembunyikan fakta dan maklumat mengenai isu berkenaan dan akan mengesyorkan tindakan yang akan diambil terhadap mereka yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Pengkritik melihat usaha itu sebagai tindak balas terhadap sikap Dr Mahathir yang lantang mengkritik dan berusaha menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan BN.

Lihat Komen
ADS