Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'RUU akta pembiayaan politik perlu sebelum PRU'
Diterbitkan:  Sep 2, 2017 9:50 PM
Dikemaskini: 1:56 PM

PAS mahu Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan mempercepatkan pembentangan dan penguatkuasaan undang-undang pembiayaan politik bagi mengekang politik wang serta derma asing dalam pilihan raya umum akan datang.

"(Ia) supaya amalan politik wang dan budaya rasuah dapat dikawal untuk mengelakkan insiden pembelian undi.

"Ia juga dapat mengelakkan peristiwa seperti dana derma berbilion ringgit daripada negara luar dapat disalurkan tanpa dikesan sehingga ia terbongkar di ruangan awam, kata timbalan presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataan beliau hari ini.

Low pada awal hari ini berkata Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik (PDEA)tidak dapat disiapkan untuk dibentangkan di Parlimen sebelum PRU14 ini.

Beliau berkata pada tahun lalu perundingan mengenai RUU itu menunjukkan ia dapat disiapkan pada hujung 2016.

Tuan Ibrahim berkata PDEA sepatutnya dibentangkan di Parlimen pada sidang berikutnya Oktober ini.

"Sepatutnya segala kajian dan cadangan mengenai akta ini sudahpun selesai. Apakah yang sedang menyebabkan kelewatan ini?" soal beliau.

RUU PDEA ialah salah satu daripada 32 syor yang dicadangkan Jawatankuasa Perundingan Kebangsaan Bagi Pembiayaan Politik.

Jawatankuasa itu dirangka susulan pendedahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak telah menerima AS$681 juta dalam akaun beliau sebelum pilihan raya 2013.

Najib berkata dana itu adalah derma daripada keluarga di raja Arab Saudi.

Parti-parti pembangkang mendakwa dana itu berpunca daripada syarikat 1MDB.

Lihat Komen
ADS