Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
JASA: Sejak bila pertanyaan boleh ancam saksi?
Diterbitkan:  Sep 9, 2017 12:28 PM
Dikemaskini: Sep 10, 2017 8:39 AM

Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) hari ini membela kenyataan yang dikeluarkan Ketua Pengarahnya berhubung Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kerugian yang dialami Bank Negara di pasaran Forex lewat 1980-an hingga 1990-an.

Menurut cabang propaganda kerajaan itu, kenyataan bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mendakwa kenyataan Datuk Mohd Puad Zarkashi boleh mendatangkan kesalahan mengancam, menghina atau mencederakan saksi dianggap pelik dan melucukan.

Malah, JASA turut mempersoalkan bagaimana kenyataan Mohd Puad itu dianggap mengancam, menghina atau mencederakan saksi.

“Setidak-tidaknya Sri Ram sedar bahawa komen Mohd Puad itu bukan satu penghinaan di bawah Seksyen 14 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950,” kata JASA dalam kenyataannya.

Selain itu, JASA menjelaskan, kenyataan Mohd Puad merupakan satu pertanyaan serta menggunakan kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas penasihat Bank Negara Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Mohd Puad juga, menurut JASA, mempersoalkan siapa individu yang layak dan berkuasa memberi kelulusan kepada Nor Mohammad yang ketika itu menjadi pengurus bahagian biasa di Bank Negara untuk membuat dagangan melebihi had iaitu melebihi AS$1 bilion sehari- berdasarkan kenyataan saksi Azman Mat Ali.

“Sejak bila suatu pertanyaan dari orang awam boleh mengancam dan mencederakan saksi?

"Tidak masuk akal seorang pengurus biasa mempunyai kuasa membuat dagangan melebihi AS$1 bilion sehari dan boleh meneruskan dagangan sebesar ini bertahun-tahun lamanya biarpun selepas mengalami kerugian.

"Sebenarnya sikap Nor Mohamed sendiri yang bakal meletakkan dirinya dalam bahaya.

"Lebih-lebih lagi selepas lebih ramai saksi, termasuk menteri kewangan ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan kenyataan,” katanya lagi.

Sri Ram dalam kenyataannya mendakwa, kenyataan Mohd Puad yang mengatakan Nor Mohamed cuba melindungi Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung skandal Forex boleh mendatangkan kesalahan mengancam, menghina atau mencederakan saksi.

Sri Ram memetik Seksyen 12 (2) Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 yang menyatakan bahawa "mana-mana orang yang mengancam, menghina atau mencederakan orang lain yang memberikan keterangan, atau berdasarkan keterangan yang telah diberikannya kepada pesuruhjaya, melakukan suatu kesalahan dan boleh dipenjarakan bagi tempoh tidak melebihi dua tahun."

Bekas hakim itu, bagaimanapun, berkata komen Mohd Puad itu mungkin tidak termasuk dalam definisi penghinaan di bawah Seksyen 14 akta yang sama.

Selain Sri Ram, peguam Mahathir pula akan membuat permohonan supaya RCI yang sedang berjalan membuat laporan polis terhadap anggota majlis tertinggi Umno itu.

Peguam Mohd Haniff Khatri Abdulla berkata kenyataan Puad melanggar maruah, kesucian dan kedudukan RCI yang terdiri daripada anggota yang dilantik oleh Yang di-Petuan Agong.

Lihat Komen
ADS