Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Akur titah Sultan, pemilik dobi henti dasar 'Muslim saja'
Diterbitkan:  Sep 27, 2017 1:04 PM
Dikemaskini: 5:11 AM

Pemilik kedai dobi untuk Muslim sahaja di Muar akur dengan titah Sultan Johor, Sultan ibrahim Sultan Iskandar agar menghentikan dasar itu yang hangat diperkatakan beberapa hari ini.

Beliau yang enggan nama disiarkan juga memohon maaf kepada Sultan Ibrahim, penduduk Johor serta seluruh rakyat Malaysia yang tersinggung dengan perkhidmatan yang ditawarkannya.

"Saya memohon maaf kepada Tuanku, rakyat Johor atas apa yang berlaku dan berharap kekecohan selama beberapa hari ini akan reda. Saya sudah tidak menggunakan papan tanda berkenaan.

“Saya memang tiada niat untuk menjadikan isu ini suatu perkara yang besar,” katanya seperti dipetik laman Free Malaysia Today.

Katanya, kedainya telah dikunjungi beberapa agensi kerajaan sebelum ini untuk memeriksa pelaksanaan dasar "Muslim sahaja" itu.

Sultan Ibrahim hari ini dilaporkan mengarahkan kedai bernama Elit Laudnry itu agar menghentikan dasar itu jika tidak ingin ditutup.

Baginda telah mengarahkan pengerusi jawatankuasa agama Islam negeri, Datuk Abdul Mutalip Abd Rahim, majlis agama dan majlis daerah untuk menyiasat perkara itu.

"Saya tidak boleh terima perkara karut ini. Ini bukan sebuah negara Taliban dan sebagai ketua Islam di Johor, saya dapati tindakan ini tidak boleh diterima sama sekali kerana ini bersifat ekstremis," titahnya.

Pemilik kedai itu berkata, premisnya telah dikunjungi beberapa agensi kerajaan sebelum ini untuk memeriksa pelaksanaan dasar "Muslim sahaja" itu.

Beliau juga berkata akan tetap meneruskan perniagaan dobi itu namun akan membaiki kelemahan yang ada, agar tidak lagi menyinggung perasaan Sultan Ibrahim dan rakyat Johor.

Dasar itu sebelum ini disambut baik Mufti Johor Datuk Mohd Tahrir Samsudin yang berkata ia tidak sepatutnya menimbulkan tanggapan buruk di kalangan orang bukan Islam.

Namun ia ditentang Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang menyifatkannya sebagai amalan sempit dan hukum fikah sepatutnya memudahkan kehidupan umat Islam, bukan membebankan.

Lihat Komen
ADS