Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Johor bukan negara Taliban, titah sultan
Diterbitkan:  Sep 27, 2017 10:28 AM
Dikemaskini: 3:41 AM

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah mengarahkan kedai dobi untuk Muslim sahaja di Muar supaya menghentikan dasar kontroversi itu atau berdepan risiko ditutup.

"Saya tidak boleh terima perkara karut ini. Ini adalah Johor, yang dimiliki oleh Bangsa Johor dan ia adalah milik semua kaum dan agama. Ini negeri yang progresif, moden dan sederhana.

"Ini bukan sebuah negara Taliban dan sebagai ketua Islam di Johor, saya dapati tindakan ini tidak boleh diterima sama sekali kerana ini bersifat ekstremis," titah baginda seperti yang dipetik oleh The Star.

Baginda telah mengarahkan pengerusi jawatankuasa agama Islam negeri, Datuk Abdul Mutalip Abd Rahim, majlis agama dan majlis daerah untuk menyiasat perkara itu.

Baginda juga mengesahkan bahawa baginda telah bercakap dengan Mufti negeri, Datuk Mohd Tahrir Samsudin, serta ahli exco agama negeri itu mengenai perkara itu.

Baginda mahu mahu pemilik kedai dobi itu memohon maaf kepada baginda dan rakyat Johor kerana "telah membuat orang Johor sangat marah dan malu kerana ini bukan Johor yang kita mahukan".

Tindakan pemiliknya itu, titah baginda, bertentangan dengan wawasan Johor bersatu, harmoni, sederhana dan toleran.

Baginda bertitah jika pemilik itu tetap mahu meneruskan amalan tersebut, maka "dia boleh tinggalkan Johor".

"Saya cadangkan dia buka kedai di Afghanistan. Pemikirannya sakit dan bertentangan dengan segala yang dilakukan oleh Johor,” titah baginda.

Sambil mengesahkan bahawa baginda dan ahli keluarganya "amat terkejut" dengan tindakan pengendali dobi itu, Sultan Ibrahim bertitah, ini akan mendorong kepada banyak lagi tindakan berfikiran sempit atas nama Islam sekiranya ia tidak dihentikan.

Mengenai tindakan pengedali dobi itu selepas dibidas pelbagai pihak dan meletakkan papan tanda baru "mesra-Muslim", baginda bertitah: "Jangan cuba berlagak pandai, ia masih sama. Pemilik mesti bersihkan otaknya dahulu.

"Saya mahu tindakan melampau ini dihentikan. Extremisme tidak mempunyai tempat di negeri saya. Kami bangga menjadi Bangsa Johor dan saya ingin tahu di mana pemilik kedai dobi ini belajar Islam?

"Islam mengajar umat untuk bertoleransi dan menghormati agama dan bangsa lain," titah baginda di Istana Bukit Serene semalam.

Mengambil contoh masjid-masjid di Johor yang dibuka kepada orang bukan Islam selagi mereka berpakaian senonoh, Sultan Ibrahim bertitah, baginda dia tidak boleh membayangkan jika orang bukan Islam yang diharamkan memasuki masjid dan melahirkan kebimbangan dengan peningkatan ekstremisme agama.

"Saya tertanya-tanya di mana pemilik kedai dobi ini membasuh pakaiannya ketika di luar negara? Adakah dia mengatakan hanya pakaian orang Islam yang bersih dan pakaian bukan Islam itu kotor?

"Mulai sekarang, saya mengarahkan semua exco dan majlis perbandaran untuk menegaskan mana-mana pemilik perniagaan yang mengamalkan diskriminasi sedemikian dibatalkan lesen mereka."

Baginda bertitah dirinya tidak boleh diam dalam isu ini kerana ia seolah-olah membenarkannya diteruskan dan kemudiannya "kita akan mempunyai teksi untuk orang Islam dan bukan Islam".

Baginda bertitah bahawa baginda tidak mahu kaum lain melakukan tindakan serupa.

[Baca berita penuh]

 


 

Lihat Komen
ADS