Walaupun lahir di negara ini, ia bukanlah tiket untuk menikmati segala kemudahan termasuk mendapatkan bantuan kesihatan dan perlindungan keselamatan dari pihak berwajib.
Perkara ini dikongsikan oleh Pengerusi Pertubuhan Bekas Penghuni Institusi di Bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (Jkeb), Che Rozi Azrul Che Aziz yang merupakan bekas penghuni pusat perlindungan itu.
Katanya, ramai di antara penghuni JKM yang tidak mempunyai kad pengenalan, berhadapan dengan pelbagai masalah hidup seharian, antaranya tidak dapat bersekolah, memiliki akaun bank dan juga berkahwin.
“Mereka tidak ada kad pengenalan, susah dapat peluang pekerjaan apabila keluar dari JKM.
“Ada penghuni yang ceritakan pada saya, dia dipukul dan pergi ke hospital, pihak hospital tak boleh terima kes itu, bila buat laporan polis pun sama sebab dia tidak ada dokumen yang sah, jadi apa dia harus buat.
“Dia tak ada akaun bank, dia tak ada simpanan, jadi ke mana dia nak pergi. Kita sebagai manusia ada nafsu berkahwin, ada keinginan nak beli kereta dan rumah, tapi disebabkan kekangan ini, apa yang dia boleh buat,” katanya.
Che Rozi berkata demikian kepada Malaysiakini dan FMT ketika ditemubual di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Putrajaya semalam.
Katanya lagi, disebabkan mereka tidak mempunyai kad pengenalan, ada pihak yang cuba mengambil kesempatan terutamanya berkaitan bayaran gaji yang dilihat tidak setimpal dengan kerja yang dilakukan.
Malah, ada juga pihak yang tidak membayar gaji sebaliknya hanya memberi makanan dan minuman sahaja.
“Rakyat Malaysia ramai yang baik, tapi ada yang pergunakan mereka dan ada juga yang ambil kerja tapi cuma bagi makan dan minum.
“Kami (Jkeb) cuba bantu tapi tak boleh buat apa. Tapi kalau sama-sama saling bantu, kami saya rasa isu ini dapat diselesaikan,” katanya.
Lelaki berusia 32 tahun itu turut menambah, akibat pelbagai masalah yang dihadapi boleh memberikan tekanan kepada bekas penghuni itu
Semalam, Menteri Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Karim mengumumkan pihaknya akan mengeluarkan kad pengenalan khas bagi Anak-anak di rumah kebajikan atau bekas penghuni yang tidak mempunyai taraf kewarganegaraan yang sah.
Rohani berkata, langkah itu merupakan penambahbaikan kerajaan untuk membantu golongan terbabit jika berurusan dengan pihak luar.
Jelasnya, melalui pendekatan itu mereka boleh mencari pekerjaan atau mempunyai identiti pelindungan sekiranya berlakunya kecemasan selepas meninggalkan rumah perlindungan kendalian JKM.
Setakat ini lebih 200 anak-anak bekas rumah kebajikan telah berdaftar dengan kementerian.
Sementara itu, Che Rozi menyambut baik langkah kerajaan itu dan berhadap supaya golongan yang tidak bernasib baik sepertinya diberikan perhatian dan bantuan supaya dapat menikmati kehidupan seperti orang lain.
Justeru beliau berharap supaya semua pihak dapat membantunya dalam meringankan beban yang dialami oleh mereka yang tidak mempunyai kad pengenalan dengan menawarkan peluang pekerjaan.
“Jangan pandang negatif, kami perlu dibantu supaya kami tak tergelincir dari landasan, kalau pihak asyik menghentam, kita tak boleh buat apa.
“Ambil adik-adik saya kerja atas dasar kebolehan bukan belas ihsan sebab dia pernah tinggal di rumah anak yatim, kalau dia buat salah, tegur dan itu adalah jalan terbaik supaya mereka tak lupa di masa akan datang,” katanya.
