Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Anak-anak di rumah kebajikan atau bekas penghuni yang tidak mempunyai taraf kewarganegaraan yang sah akan diberikan kad pengenalan khas.

Menteri Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Karim berkata langkah itu merupakan penambahbaikan kerajaan untuk membantu golongan terbabit jika berurusan dengan pihak luar.

Kata Rohani melalui pendekatan itu mereka boleh mencari pekerjaan atau mempunyai identiti pelindungan sekiranya berlakunya kecemasan selepas meninggalkan rumah perlindungan kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Kita akan mengeluarkan kad pengenalan khas untuk anak-anak yang tiada dokumen yang berada di bawah jagaan JKM bulan ini bagi tujuan penambahbaikan.

“Saya menyeru kepada semua anak-anak ini supaya tampil sebab kita nak buat sekali untuk daftarkan mereka,”katanya dalam sidang media di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Putrajaya hari ini.

Sebelum itu Rohani mengadakan pertemuan lebih dua jam dengan 26 bekas penghuni pusat kebajikan dan rumah perlindungan bagi memberi cadangan dan mendengar masalah mereka.

Jelas Rohani sebelum ini JKM hanya mengeluarkan surat yang mengesahkan mereka adalah penghuni di bawah jagaan agensi terbabit.

Namun katanya, dengan menggunakan surat, JKM tidak dapat mengesan kembali anak-anak tersebut kerana tidak ada data yang mencukupi.

“Dulu kita bagi surat pembebasan. Dengan surat itu kita tak tahu mana dia pergi.

"Jadi kad baru ini adalah dokumen tambahan, ia adalah penambahbaikan,” katanya.

Kata Rohani lagi, pihaknya akan berjumpa dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi membincangkan isu berkenaan supaya dapat dibawa ke kabinet.

Setakat ini lebih 200 anak-anak bekas rumah kebajikan telah berdaftar dengan kementerian.

Lihat Komen
ADS