Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Selepas ditahan, buku sarjana Turki diharamkan
Diterbitkan:  Oct 3, 2017 12:44 PM
Dikemaskini: 5:09 AM

Kerajaan telah mengharamkan buku oleh sarjana Turki terkemuka, Mustafa Akyol, yang ditahan seketika oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) minggu lalu.

Menurut warta kerajaan persekutuan, buku “Islam Without Extremes: A Muslim Case For Liberty” yang diterbitkan pada tahun 2011, kini diharamkan di negara ini, bersama dengan versi terjemahan bahasa Melayu.

Versi bahasa Melayu berjudul “Islam Tanpa Keekstreman: Berhujah Untuk Kebebasan" itu diterbitkan oleh badan pemikir Islamic Renaissance Front (IRF) tahun lalu.

Sementara itu, warta lain menyatakan bahawa turut diharamkan adalah dua buku oleh pengerusi IRF Dr Ahmad Farouk Musa yang bertajuk "Wacana Pemikiran Reformis 1" dan "Wacana Pemikiran Reformis 2" yang diterbitkan pada 2012 dan 2014 oleh pertubuhan yang sama.

Kedua-dua warta itu bertarikh 6 September dan ditandatangani oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, selaku menteri dalam negeri.

Mustafa, 45, seorang wartawan dan penulis yang menganggap dirinya penyokong Uthmaniyah.

Beliau pernah menghasilkan beberapa buku termasuk "Islam Without Extremes: A Muslim Case for Liberty" serta menjadi kolumnis di akhbar New York Times pada 2013.

Beliau dijemput menghadiri beberapa program di Malaysia pada 24 dan 25 Sept lalu.

Walaupun dibenarkan berucap, penganjur membatalkan slot syarahannya pada 25 Sept selepas dirundingi pegawai JAWI.

Dalam tulisannya di New York Times kemudiannya Mustafa menceritakan bagaimana dia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa KL, dibawa ke dua balai polis sebelum tiba di pejabat JAWI.

Beliau kemudian dibawa ke mahkamah syariah dan disoal siasat selama beberapa jam.

Menurut Mustafa, pembebasannya hasil rundingan dan jaminan oleh kedutaan Turki, bekas presiden Turki Abdullah Gul dan seorang kerabat diraja Malaysia yang tidak dinamakan.

Ditanya sama ada Mustafa dianggap mengancam keselamatan, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun - yang sebelum ini menjadi pengarah Cawangan Khas Bukit Aman - menjawab: "Saya tak fikir dia menjadi ancaman sangat".

Sementara itu, JAWI kemudian mengarahkan Dr Ahmad Farouk untuk hadir di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur pada 4 Disember untuk menjawab tuduhan "bersubahat" dengan sarjana Turki itu.

Lihat Komen
ADS