Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Selama dua jam pada tengah hari tadi, lima anggota Pemuda AMANAH Nasional berkumpul di luar pusat membeli-belah Sogo di Kuala Lumpur, bagi mengagihkan lebih 100 risalah berhubung demonstrasi antikleptokrat pada 14 Oktober ini.

Ketua Pemuda AMANAH Wilayah Persekutuan, Nik Abdul Razak Nik Mohamad yang mengetuai usaha itu kemudiannya mengakui pada Malaysiakini yang sambutan terhadap kempen mobilisasi mereka adalah hambar.

Ia di saat mereka hanya mempunyai masa seminggu lagi sebelum himpunan yang mensasarkan 100,000 hadirin itu berlangsung.

"Sejujurnya, respon tidak terlalu hebat jika dibandingkan dengan himpunan Bersih 5 yang lalu.

"Usaha mobilisasi kali ini tidak di tahap optimum," katanya ketika mereka bersiap untuk pulang, kira-kira jam 4 petang.

"Kami tidak pasti sebabnya...ramai ahli politik veteran yang menyokong himpunan ini. Barangkali isunya mudah sahaja, iaitu jenama," katanya merujuk kepada nama himpunan itu - "Sayangi Malaysia, Hapus Kleptokrasi".

Namun nadanya tidak berputus asa, dan menambah pihak penganjur akan terus berkumpul dan mengedarkan risalah di beberapa lokasi lagi di sekitar Kuala Lumpur pada setiap hari sehingga 13 Oktober ini.

Turut menyertai program itu tadi adalah Yub Mahmud dari Padang Terap, Kedah.

Yub yang merupakan penyokong Pakatan Harapan (HARAPAN) nampaknya lebih optimis berhubung himpunan itu.

"Ada kalanya rakyat, terutama orang Melayu, mereka takut. Jika kita cuba beri risalah, mereka menolaknya seolah-olah ia adalah satu kesalahan," katanya.

Beliau berkata berita tentang himpunan itu beredar secara meluas di media sosial.

Katanya lagi, penyokong HARAPAN dari Padang Terap akan datang dengan sekurang-kurangnya dua buah bas pada 14 Oktober ini.

Hujan pula turun

Berdasarkan pemerhatian Malaysiakini, kebanyakan yang didekati aktivis AMANAH ini menunjukkan respon yang sopan tetapi tidak bersungguh.

Mereka sama ada serta-merta menyimpan risalah tersebut ke dalam beg atau poket, atau memandang mereka sepintas lalu sebelum berlalu pergi.

Malah ada yang menerima risalah itu berkata mereka tidak tahu-menahu tentang himpunan tersebut, walaupun sentiasa mengikuti isu-isu kleptokrasi.

Namun, ada juga yang memberikan respon penuh semangat kepada lima aktivis itu.

Seorang penjual burger yang hanya mahu dikenali sebagai "Man" menyifatkan himpunan tersebut sangat penting memandangkan ramai yang tidak berpuas hati dengan keadaan sekarang.

"Kadang-kadang saya berbual dengan pelanggan. Mereka akan mengeluh, misalnya sukarnya mencari pekerjaan sekarang," kata pemuda dari Sentul itu.

Man kemudian secara sukarela turut mengedarkan risalah kepada mereka yang lalu-lalang.

Seperti biasa, kereta yang melintasi mereka di persimpangan Jalan Dang Wangi itu membunyikan hon, tanda sokongan kepada slogan-slogan yang terpapar pada plakad mereka.

Usaha edaran risalah di tempat lain juga turut berhadapan cabaran yang sama.

Pemuda AMANAH yang ingin mengedarkan risalah di pasar raya Tesco di Melaka ini gagal mendapat kebenaran pemilik premis.

Ketika berpindah ke lokasi berdekatan, hujan turun dan mengganggu program mereka.

Ketua AMANAH Melaka Adly Zahari memberitahu Malaysiakini, yang secara keseluruhan pendekatan terhadap himpunan tersebut menjadi salah satu punca sambutan yang hambar.

Adly berkata, tidak seperti Bersih 5 yang lebih agresif dan bersifat "menyerang", himpunan anti-kleptokrasi lebih kepada "pesta".

Berhubung kritikan yang risalah yang diedar tidak menarik dan gagal membangkitkan tujuan penganjuran himpunan, beliau berkata ia direkabentuk bagi memberikan maklumat dan mendidik rakyat tentang isu 1MDB.

Terdahulu, timbalan pemuda AMANAH Nasional merangkap pengarah teknikal himpunan Faiz Fadzil menyuarakan kerisauan sama berhubung kurangnya respon terhadap himpunan itu yang akan berlangsung Sabtu ini.
 

Lihat Komen
ADS