Paling Popular
Terkini

Pakatan Harapan (HARAPAN) menyasarkan 100,000 kehadiran pada Himpunan Sayangi Malaysia, Hapus Kleptokrasi yang berlangsung 14 Oktober depan.

Pengerusi Mobilisasi HARAPAN, Mohamad Sabu, berkata himpunan itu terbuka kepada semua rakyat dengan memilih baju merah sebagai warna tema.

“Setakat ini terbuka kepada sekalian rakyat tak kira atas apa parti kita rakyat yakin hadir,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) di Petaling Jaya hari ini.

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) itu berkata, himpunan berkenaan bertujuan memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia untuk menuntut hak dan wang mereka daripada skandal 1MDB.

Himpunan itu akan berlangsung di Padang Timur Majlis Bandar Raya Petaling Jaya (MBPJ), bermula dari jam 4 petang hingga 12 malam.

Sementara itu, Pengerusi DAP Selangor Tony Pua berkata, rakyat perlu dimaklumkan mengenai 1MDB terutama menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14.

"Ini untuk pastikan Najib tidak berjaya membersihkan namanya. Himpunan penting dan harap tsunami berlaku, rakyat berbilang bangsa keluar (menghadiri perhimpunan),” katanya.

Selain ceramah pimpinan tertinggi HARAPAN seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, program lain yang akan diadakan pada himpunan itu adalah sembahyang hajat, persembahan kebudayaan dan tarian tradisional.

Pada sidang media, HARAPAN turut mengumumkan pertandingan video pendek dan melukis komik dengan tema himpunan itu, iaitu "Sayangi Malaysia, Hapus Kleptokrasi".

Mereka yang berminat boleh menghubungi talian 017-6577506 untuk maklumat lanjut.
 

Lihat Komen
ADS