Kit Siang tak rasa akan ada PM bukan Melayu abad ini

   

Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata beliau tidak pernah menanam cita-cita untuk menjadi perdana menteri Malaysia, dan merasakan tidak akan ada perdana menteri dari kalangan orang bukan Melayu pada abad ini.

Namun, beliau berharap Malaysia tidak akan mengambil masa terlalu lama ke arah itu, dengan menjadikan kemenangan Barack Obama sebagai presiden Amerika Syarikat pada 2009 sebagai perbandingan.

"Saya harap Malaysia tidak memerlukan 230 tahun (seperti Amerika Syarikat yang tertubuh pada 1776) sebelum orang bukan Melayu boleh menjadi perdana menteri, tetapi saya tidak menjangka ia akan berlaku pada abad ke-21 ini.

"Sama ada (ia akan terlaksana) pada abad ke-22 atau abad ke-23 bergantung sama ada politik identiti tidak lagi menjadi unsur penting dalam landskap politik Malaysia, seperti hari ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Namun, katanya lagi, walaupun realiti politik hari ini memastikan perdana menteri dari kalangan orang Melayu, ia tidak akan mengurangkan kempen Umno yang kedudukan orang Melayu akan terancam jika parti itu tewas pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Pada 5 Oktober lalu, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi mempertahankan DAP daripada tuduhan anti-Melayu, dan menafikan dakwaan Lim akan menjadi perdana menteri jika Pakatan Harapan (HARAPAN) berjaya ke Putrajaya.

Artikel yang disiarkan dalam blognya itu respon kepada tuduhan beliau yang kini pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) telah mengkhianati orang Melayu kerana bekerjasama dengan DAP.

Lim berkata lagi, sepanjang 52 tahun terlibat dalam kancah politik negara, tidak sekali pun beliau terdetik untuk menjadi perdana menteri.

"Jika saya tiada cita-cita itu ketika dalam usia 20-an, 30-an dan 40-an, mengapa saya harus mula mempunyai hasrat sedemikian ketika berusia 70-an?" soalnya.

Perbuatan, bukan kata-kata

Sementara itu, anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Mohd Puad Zarkashi mendakwa Lim mahu melantik perdana menteri boneka yang mengikut telunjuknya.

"Dia boleh menafikan (mahu menjadi perdana menteri), tetapi sudah tentu dia ada banyak muslihat termasuk memulakannya dengan melantik perdana menteri boneka.

"Hakikatnya, dialah perdana menteri (sebenar)," katanya dalam satu kenyataan balas.

Beliau yang juga ketua pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) - badan propaganda kerajaan - berkata tiada sesiapa pun yang mempercayai penafian Lim dan juga Dr Mahathir.

"Sama seperti apabila DAP mendakwa sebagai parti demokratik kerana namanya. Apakah orang percaya, sedangkan pemilihan jawatankuasa pusat (CEC) masih tidak diiktiraf Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

"Parti itu sendiri dikuasai dinasti Lim, termasuk beliau sendiri yang masih berkuasa hampir 52 tahun. Rakyat melihat perbuatan, bukan kata-kata," katanya lagi.
 

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

VOIZ

Berita Terhangat