Parti Keadilan Nasional dan Parti Bersatu Sabah (PBS) telah membuat bantahan kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) berhubung kehadiran "pengundi hantu" pada hari membuang undi dalam pilihanraya kecil Likas hari ini.

Petugas-petugas pilihanraya Keadilan membuat beberapa bantahan bertulis kepada SPR, kata pengarah pilihanraya Mohamad Azmin Ali kepada malaysiakini .

"Hanya (bantahan) di daerah Bandar Utara tidak diterima (SPR)," kata ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang, Selangor lagi.

Azmin menjelaskan, keengganan SPR itu telah dilaporan kepada polis menjelang tengahari tadi.

Bandar Utara mempunyai 1971 pengundi berdaftar. Sementara sembilan lagi daerah mengundi adalah: Karambunai mempunyai 1277 pengundi, Gudon (2528 pengundi), Tobobon (1321), Inanam Laut (2333), Likas Timor (5039), Likas (5056), Bandar Selatan (2152), Pulau Gaya (1705) dan Likas Baru (2814).

Dalam satu kejadian lain di tempat membuang undi utama di Jalan Telok Likas, seorang yang didakwa warganegara Filipina telah ditahan oleh petugas-petugas Keadilan dan PBS dan diserahkan kepada polis.

"Orang Filipina itu dapat IC (kad pengenalan) dengan menunjukkan pasport," kata seorang petugas parti pembangkang, Darul Hisham Mohd Said. Beliau sempat bertanya kepada orang yang disyaki itu cara-cara kad pengenalan itu diperolehi.

Pemimpin PBS, Saidil Simoi memberitahu, seorang lagi pengundi telah ditahan jentera pilihanraya parti itu kerana didakwa "menggunakan kad pengenalan palsu". Polis kemudian menangkap pengundi itu, di daerah Karambunai, dan membawanya ke balai polis Kota Kinabalu.

Menurut petugas-petugas Parti Maju Sabah (Sapp), Ibrahim Naitullah dan Keadilan, Nordin Ismail, keadaan di Likas Baru dan Pulau Gaya "tenang dan pembuangan undi berjalan lancar".

Saidil, yang meninjau daerah mengundi Gudon selepas itu, berkata "perbuatan biadab penyokong-penyokong Barisan Nasional semakin menjadi-jadi."

"Mereka berteriak-teriak sewaktu (Presiden Keadilan) Dr Wan Azizah Wan Ismail datang, (sambil berkata) liwat, lebam mata," katanya kepada malaysiakini , mendakwa wujud provokasi BN itu.

Beliau yang merupakan Ahli Majlis Tertinggi PBS berkata keadaan kembali tenang selepas rombongan Keadilan keluar dari tempat mengundi.