Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MAS seperti tiada bayangan CEO berhenti
Diterbitkan:  Oct 17, 2017 9:35 PM
Dikemaskini: 1:45 PM

Malaysia Airlines (MAS) kelihatan tidak menjangkakan ketua pegawai eksekutifnya, Petter Bellew, akan meninggalkan syarikat penerbangan itu secara tiba-tiba.

MAS - dalam kenyataannya hari ini - menggambarkan perkembangan berkenaan sebagai "di luar jangkaan".

"Malaysia Airlines mengambil perhatian terhadap pengumuman yang tidak dijangka oleh RyanAir Holdings PLC kepada Bursa Saham London mengenai CEO Peter Bellew," kata syarikat itu.

Pengumuman mengenai kedudukan Bellew memang mengejutkan, terutama apabila ia bukannya datang daripada MAS sebaliknya sebuah syarikat penerbangan asing, RyanAir.

RyanAir sebelum itu membuat pengumuman bahawa Bellew akan kembali berkhidmat di syarikat penerbangan Ireland berkenaan bermula 1 Disember ini.

Melalui kenyataan itu juga MAS mendakwa Bellew baru saja menyatakan komitmennya untuk berkhidmat denan syarikat penerbangan Malaysia itu kurang dari sebulan lalu.

"Semasa sidang media bersama media Malaysia dan antarabangsa pada 27 Sept lalu Bellew menyatakan komitmennya kepada Malaysia Airlines apabila ditanya mengenai spekulasi dia akan menyertai semula RyanAir.

"Bellew berkata dia gembira berada di Malaysia dan pemulihan Malaysia Airlines akan menjadi kejayaan terbesar dalam hidupnya," kata MAS.

Petang tadi Malaysiakini melaporkan MAS bakal kehilangan CEO keduanya dalam tempoh kurang dari tiga tahun.

Ia ekoran laporan The Irish Times yang menyatakan Bellew - yang mula menjadi CEO MAS pada Julai 2016 - akan kembali menyertai RyanAir.

600 pesawat enam tahun

Bellew dilantik MAS untuk menggantikan Cristoph Mueller yang berkhidmat bersama syarikat penerbangan Malaysia sebagai CEO pada Mei 2015 sebelum berhenti secara mengejut pada Jun 2016.

Kedua-dua mereka diamanahkan untuk memulihkan semula MAS selepas syarikat itu disusun semula berikutan dua nahas udara membabitkan penerbangan MH370 dan MH17 pada 2014.

Sebagai sebahagian daripada pelan menyelamat, MAS dibeli oleh Khazanah Nasional Berhad.

Sementara itu, Ryanair dalam satu kenyataan di laman web rasminya mengesahkan Bellew akan sekali lagi menyertai syarikat berkenaan sebagai CEO.

Menurut kenyataan itu, Bellew akan mengambil alih tanggungjawab semua operasi penerbangan RyanAir dengan tanggungjawab khusus membabitkan juruterbang.

Sementara itu MAS berkata anggota lembaga pengarahnya akan mengadakan mesyuarat dan pengumuman lanjut akan dibuat selepas itu.

"Operasi dan perkhidmatan kami akan berjalan seperti biasa. Komitmen dan keutamaan MAS kekal untuk para pelanggan kami.

"Proses pemulihan MAS akan berjalan seperti biasa mengikut jadual Pelan Pemulihan MAS," kata kenyataan itu lagi.

Dalam kenyataannya yang dikeluarkan RyanAir, Bellew berkata dia teruja untuk kembali ke syarikat penerbangan berkenaan.

"Saya tidak sabar untuk bekerjasama dengan semua pasukan dan kru yang saya kenal baik untuk mengembangkan pertumbuhan kami kepada 600 pesawat udara dalam tempoh enam tahun akan datang," katanya.

Setakat berita ini ditulis Bellew belum mengeluarkan sebarang kenyataan lain, termasuk melalui MAS.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS