Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelamin angan Fadholi dan Ayu pun musnah...
Diterbitkan:  Oct 24, 2017 5:08 PM
Dikemaskini: 9:16 AM

GLOBAL|  Apabila Muhammad Fadholi melafazkan ijab kabulnya untuk memperisterikan Ayu Puji Astutik, tidak ada yang lebih diingininya selain kebahagian dalam rumah tangga.

Mereka dinikahkan di Pejabat Agama Ajung, Jember di Jawa Timur pada Julai lalu.

Fadholi dari Glagahwero di daerah Panti baru berusia 21 tahun manakala Ayu, 23, dari Kampung Pancakarya, Ajung.

Namun baru beberapa bulan melayari bahtera madu timbul 'bencana' buat pasangan itu. Cakap-cakap penduduk setempat mula tersebar pada September lalu.

Kini Fadholi dan Ayu berdepan hukuman penjara sehingga enam atau tujuh tahun. Puncanya, Ayu bukan perempuan asli.

Hasil rungutan dan aduan masyarakat setempat polis Jember bertindak segera dan menjalankan siasatan.

Selepas mendapat maklumat meyakinkan polis melakuan pemeriksaan fizikal.

Pegawai polis jember, Kusworo Wibowo, berkata pemeriksaan rapi mendapati Fadholi dan Ayu sama-sama lelaki.

"Hari ini kami meneliti kertas siasatan pejabat agama dan keterangan keluarga suspek untuk tindakan lanjut," katanya dipetik Tempo.

Arahan batal boleh dikeluarkan

Menurut Kusworo Fadholi dan Ayu disiasat mengikut peruntukan kesalahan memalsukan dokumen rasmi kerajaan, serta berbohong.

Sementara itu Tribunnews melaporkan pasangan terbabit sebelum ini sudah diarahkan hadir ke Pejabat Agama Ajung untuk memberikan keterangan.

"Namun kedua-dua mereka tidak datang," kata pegawai di situ, Muhammad Erfan.

Buat masa ini katanya pejabat agama terbabit akan menghantar laporan kepada pihak atasan di Jember untuk penelitian.

"Kalau memang keduanya sejenis, maka pernikahan boleh dibatalkan," katanya.

Julai lalu pihak berkuasa agama mengarahkan supaya pernikahan sepasang suami isteri di Lengkiti, Ogan Komering Ulu (OKU) Sumatera Selatan.

Puncanya beza usia pasangan pengantin terbabit terlalu jauh sehingga pernikahan itu diragui.

Selamat Riyadi Husni, 16, dinikahkan dengan Rohaya Kiagus Muhammad Jakfar, 71, selepas mereka saling mengenali beberapa bulan.

Lihat Komen
ADS