Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Politik PAS bukan angkat orang tapi dasar
Diterbitkan:  Oct 25, 2017 11:40 AM
Dikemaskini: 3:44 AM

Presiden PAS hari ini menggariskan tiga laluan "politik Islam" yang menyasarkan bukan saja pilihan raya umum (PRU) dan kuasa sebaliknya berdakwah dan mendidik masyarakat.

Kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang "politik Islam" mewajibkan kepimpinan yang berciri Islam tanpa menentukan siapa yang menjadi perdana menteri.

Menurut anggota parlimen Marang itu PAS berjuang bukan untuk mengangkat seseorang atas kapasiti individu sebaliknya mengutamakan dasar dan matlamat iaitu mencapai keredaan Allah, selain kebahagiaan di dunia dan akhirat.

"Allah lebih mengenali siapa orangnya sama ada (dia) ikhlas atau tidak, termasuk beriman dan budimannya, kerana (seseorang) boleh berubah dan hanyut," kata Abdul Hadi dalam satu kenyataan hari ini.

Menjelang PRU ke-14 PAS bertegas dengan pegangannya membawa slogan politik matang dan sejahtera dan memilih jalan tidak memihak sama ada kepada BN atau Pakatan Harapan (HARAPAN).

Ketika banyak pihak meramalkan PAS tidak mempunyai peluang besar kerana bergerak sendirian, parti itu tetap yakin mampu melakar kemenangan dan bersedia meletakkan calon di kira-kira 100 daripada 222 kerusi parlimen.

Daripada jumlah itu PAS yakin memenangi sekurang-kurangnya 40 kerusi parlimen yang ditandinginya. Parti itu juga percaya dapat memerintah di empat negeri di semenanjung.

Bebas bertanding di mana saja

Kata Abdul Hadi politik Islam juga memperjuangkan hadirnya rahmat Allah serta melaksanakan keadilan kepada semua, tanpa mengira agama dan kaum.

Keadaan itu katanya hanya boleh dilaksanakan oleh Islam dan pemimpin yang beriman, budiman dan berilmu.

Matlamat ketiga digariskan Abdul Hadi ialah memperjuangkan amalan budaya politik matang dan sejahtera yang akan membawa PAS berbeza daripada parti lain.

"(Ia akan) mengeluarkan PAS daripada budaya politik fitnah, maki hamun dan bermusuhan yang sedang melanda semua pihak," katanya.

Pada masa sama Abdul Hadi mengakui amalan itu turut mempengaruhi ahli PAS ketika ini.

"Sedikit sebanyak (ia) mempengaruhi ahli PAS yang wajib dibebaskan daripadanya," kata Abdul Hadi lagi.

Menurut beliau sesuatu kerjasama politik tidak semestinya dibuat sebelum atau ketika pilihan raya malah selepas tempoh itu juga.

Katanya ia perlu bagi menentukan Islam tetap memimpin masyarakat majmuk berdasarkan Islam yang "wajib dipertahankan oleh PAS."

Abdul Hadi menjelaskan PAS wajib menolak pihak yang nyata menentang Islam dan pada masa sama boleh bekerjasama dengan siapa sahaja yang tidak menolak Islam.

"Kini PAS bebas menentukan di mana dan berapa jumlah kerusi yang hendak dipertandingkan bersama gagasannya, tanpa terikat dan diarahkan oleh pihak lain," katanya.

Lihat Komen
ADS