Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS realistik nak tawan 4 negeri, 40 kerusi parlimen
Diterbitkan:  Jul 28, 2017 12:05 PM
Dikemaskini: 4:10 AM

PAS menegaskan parti itu tetap dengan matlamat memperjuangkan Islam melalui politik dan menepis dakwaan mereka tidak perlu menjadi pertubuhan siasah jika mahu membawa agenda Islam.

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki, berkata matlamat parti itu memang jelas sejak dulu iaitu bercita-cita untuk menang melalui pilihan raya.

Malah, katanya, pihak yang mempersoalkan matlamat PAS dianggap tidak faham dan tidak mengikuti sejarah penubuhan parti itu sejak awal, lapor Sinar Harian.

"PAS bertanding untuk menang. Kita bukan angan-angan Mat Jenin, kita tahu realiti politik tanah air.

"Kami buat kajian sendiri dan mengambil kira pandangan pihak ketiga.

"Tidak seperti Pakatan Harapan, menang pun belum tentu tetapi dah berebut-rebut hendak jadi perdana menteri. Sudah menyasarkan siapa yang akan jadi perdana menteri," katanya dilaporkan akhbar itu.

Mohd Zuhdi berkata demikian sebagai mengulas kenyataan penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani.

Pencongak politik Malaysia

Pada program wacana anjuran Sinar Harian Rabu lalu, Mohd Azizuddin berkata PAS tidak perlu menjadi parti politik jika mahu membawa agenda Islam tanpa berhasrat bertanding pilihan raya.

Penganalisis itu lagi, kedudukan PAS dalam politik tanah air juga dilihat sudah tidak relevan kerana agenda parti itu telah dilaksanakan Umno.

Sementara itu, Mohd Zuhdi yang juga anggota jawatankuasa Pusat PAS itu berkata, parti berkenaan masih realitistik dan akan menjadi pencatur utama dalam politik negara.

Membuktikan keyakinannya Mohd Zuhdi berkata PAS menyasarkan memenangi sekurang-kurangnya 40 kerusi parlimen dan menawan empat buah negeri pada pilihan raya umum akan datang.

"PAS akan menjadi pencatur utama politik Malaysia dengan menyasarkan menang sekurang-kurangnya 40 kerusi Parlimen dan tawan empat negeri.

"Walaupun tidak memerintah, tetapi PAS mencongakkan politik Malaysia dengan kekuatan yang ada. Tanggapan mengatakan PAS bertanding bukan untuk menang itu salah sama sekali," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS