Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kalau 1MDB positif kenapa tak boleh bahas di parlimen?'
Diterbitkan:  Oct 25, 2017 1:14 PM
Dikemaskini: 5:22 AM

Jika sememangnya 1MDB itu memberi kesan positif kepada negara mengapa kerajaan enggan menjawab isu berkenaan di parlimen, kata Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Mengulas kenyataan Datuk Seri Najib Razak semalam Saifuddin berkata kerajaan wajar membenarkan pelbagai persoalan yang dibangkitkan pembangkang dibentang di parlimen.

Kemudian, katanya, boleh dibahaskan secara ilmiah dan berfakta.

"Mengapa perlu takut untuk dijawab dan dibahaskan di parlimen?" katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam perdana menteri menulis tentang isu semasa dalam blognya dan menyentuh beberapa subjek.

Melalui catatan sepanjang 81 perkara bertajuk Visi Ekonomi Saya Untuk Malaysia itu Najib menyatakan 1MDB berperanan penting menyelesaikan masalah yang timbul akibat perjanjian ditandatangani "seorang bekas pemimpin" negara ini.

Menurut perdana menteri perjanjian berkenaan yang dimeterai kerajaan sebelum ini bersifat berat sebelah.

Kata Najib tindakan 1MDB berjaya menjimatkan negara ini sebanyak RM200 bilion bagi tempoh 20 tahun akan datang.

Perlu siasatan polis

Meski pun tidak menamakan sesiapa diyakini kenyataan Najib itu disasarkan kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Selain menjadi seorang daripada pengkritik tegar Najib, Dr Mahathir kini dilantik menjadi pengerusi Pakatan Harapan.

Kata Saifuddin masalah yang membelenggu Malaysia ketika ni perlu diselesaikan sekarang juga dan bukan menunggu sehingga 20 tahun akan datang.

Jika perlu ditunggu sehingga dua dekad, katanya, bebanan 1MDB itu akan ditanggung oleh anak cucu generasi sekarang.

"Syarikat 1MDB bukan saja membuat hutang seperti hutang kerajaan, malah telah berhutang sehingga berbilion ringgit," katanya.

Pada hakikatnya kata Saifuddin 1MDB merupakan syarikat pembangunan strategik milik penuh kerajaan Malaysia.

Ia dikuasai melalui Kementerian Kewangan dengan modal sebanyak RM1 juta.

Oleh itu, katanya, kerajaan Umno BN tidak boleh mendakwa ia merupakan masalah syarikat biasa dan bukan masalah kerajaan.

Menurut Saifuddin Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara Parlimen (PAC) pada awal 2016 bahawa hutang 1MDB sudah melebihi RM50 bilion.

Dalam keadaan begitu pun katanya satu demi satu alasan dan helah dicari untuk menutup kegagalan 1MDB dan yang terbaru syarikat itu akan menampakkan hasil selepas 20 tahun.

"Mengapa tubuhkan 1MDB? Mengapa tiada tindakan diambil ke atas 1MDB kerana memasukkan duit ke tempat yang tidak betul? Apa yang terjadi kepada penjualan bandar Malaysia?" katanya.

Apa yang diperlukan ketika ini kata Saifuddin lagi ialah siasatan forensik oleh polis ke atas tuduhan yang dibuat terhadap beberapa individu didakwa terlibat dengan pengurusan dana 1MDB.

Lihat Komen
ADS