Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib: 1MDB betulkan kesalahan 'pemimpin dulu'
Diterbitkan:  Oct 24, 2017 2:50 PM
Dikemaskini: 7:05 AM

Datuk Seri Najib Razak berkata 1MDB memainkan peranan penting menyelesaikan masalah yang timbul daripada perjanjian ditandatangani "seorang bekas pemimpin" negara ini.

Menurut perdana menteri perjanjian berkenaan yang dimeterai kerajaan sebelum ini bersifat berat sebelah.

Tindakan syarikat pelaburan milik kerajaan itu katanya berjaya menjimatkan negara ini sebanyak RM200 bilion bagi tempoh 20 tahun akan datang.

"1MDB sebenarnya memainkan peranan penting dalam menyelesaikan perjanjian kuasa berat sebelah yang telah ditandatangani oleh seorang bekas pemimpin.

"Apabila 1MDB memasuki industri itu, ia adalah pembida terendah dalam semua perjanjiannya (dan) dengan itu menjimatkan Malaysia sebanyak RM200 bilion dalam 20 tahun akan datang," kata Najib melalui kemas kini terbaru blognya hari ini.

Tak dapat dilakukan sebelum ini

Malah menurut perdana menteri sebuah firma penyelidikan mengenai perjanjian kuasa yang disemak itu menyediakan laporan bertajuk “Tiada lagi perjanjian pilih kasih”.

Kata Najib tuduhan bahawa kerajaan melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) untuk membayar hutang 1MDB adalah satu pembohongan besar.

Pembohongan itu katanya disedari sendiri oleh ahli politik yang membuat dakwaan tersebut.

Skandal 1MDB menjadi satu daripada isu utama digunakan pembangkang untuk mengkritik kerajaan Najib dengan Tun Dr Mahathir menjadi seorang daripada tokoh paling lantang memperkatakannya.

Isu itu juga mendorong sebahagian pemimpin Umno bertindak tidak sehaluan dengan presiden mereka dan sesetengahnya disingkirkan atau meninggalkan parti berkenaan.

Antara mereka ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, masing-masing pernah dipilih anggota Umno untuk menjadi timbalan presiden, naib presiden dan anggota majlis tertinggi parti itu.

Muhyiddin kini menjadi presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia manakala Shafie - yang mengetuai Parti Warisan Sabah sedang di bawah tahanan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Walaupun tidak menamakan "pemimpin" terbabit dipercayai Najib menyasarkan kenyataan dalam blognya itu kepada Dr Mahathir - bekas perdana menteri yang sebelum ini bersungguh-sungguh mahu beliau dilantik menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Dalam catatan panjang 81 perkara bertajuk Visi Ekonomi Saya Untuk Malaysia itu Najib menambah 1MDB juga membiayai pembinaan dan penambahbaikan lapan pangkalan tentera yang tidak dapat dilakukan oleh kerajaan sebelum ini.

"Ia juga telah membiayai beribu-ribu biasiswa dan perjalanan haji untuk para jemaah," katanya.

Pembohongan akan berkubur

Menurut perdana menteri memang benar 1MDB mempunyai masalah, dan kerajaan mengambil tindakan merombak pengurusan syarikat itu untuk membetulkan kesilapan serta mengembalikannya kepada keadaan kewangan yang sihat.

Tetapi apabila perjanjian projek Bandar Malaysia ditandatangani, 1MDB dijangka akan membuat keuntungan yang lebih daripada cukup untuk menanggung kerugiannya.

"Dan pembohongan bahawa rakyat perlu menanggung akibat daripada keputusan 1MDB akan terkubur.

"Ini kerana selepas program rasionalisasi selesai, 1MDB berkemungkinan besar akan menjana keuntungan untuk rakyat, dan ini tidak termasuk segala usaha tanggungjawab sosial korporat yang telah dilaksanakannya selama bertahun-tahun," katanya.

Sebelum ini 1MDB - melalui anak syarikatnya Edra Global Energy Bhd (Edra) - menguasai beberapa stesen jana kuasa di Malaysia, Mesir, Pakistan, Emiriah Arab Bersatu dan Bangladesh antara 2012 dan 2013.

Proses itu dilapor membabitkan perbelanjaan kira-kira RM12 bilion.

Pada masa itu Edra menjadi satu daripada pengeluar tenaga terbesar di rantau ini.

Selepas cubaan penjualan tawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu gagal pada 2015 Edra dijual kepada syarikat China General Nuclear Power Corp (CGN Group) pada harga RM9.83 billion.

Najib dijadual membentangkan Belanjawan 2018 di Dewan Rakyat 27 Okt ini.

Lihat Komen
ADS