Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Ops Lalang: Bekas tahanan kongsi pengalaman ngeri

Beberapa bekas tahanan Operasi Lalang malam tadi berkongsi kengerian yang mereka alami ketika dalam tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), termasuk dakwaan dibelasah dan penyeksaan mental.

Mengulas pengalamannya, ahli Women's Aid Organisation, Irene Xavier terus terang mengakui bahawa wanita juga dipukul semasa penahanan.

"Mereka memukul saya, dan apabila mereka pukul saya, tidak ada polis wanita.

"Alasan mereka memukul saya adalah kerana mereka mendakwa saya berbohong, kata Irene kepada kira-kira 150 orang yang hadir pada forum yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor malam tadi.

Forum bertajuk "My Side of Story" adalah sebahagian daripada aktiviti sempena ulang tahun ke-30 Operasi Lalang.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang dibidas berikutan penahanan ISA pada bulan Oktober 1987 itu tidak membuat penampilan walaupun diundang untuk hadir bersama pada forum berkenaan.

Irene berkata apa yang dilaluinya itu sebagai satu “penghinaan”. Katanya, dia percaya tujuan penahanan itu adalah untuk mengelirukan para tahanan supaya mereka secara psikologi bergantung kepada interogator.

Menyifatkan beberapa taktik soal soal siasat, dia berkata dirinya berulang kali ditanya mengenai individu yang tidak dikenalinya rapat.

"Apabila mereka terus bertanya, ingatan anda kembali, kenapa saya berjumpa dengan mereka, apa yang saya katakan kepada mereka, semua perkara itu menjadi segar semula dalam fikiran.

"Semasa soal siasat, saya berusaha keras untuk melupakan nama, yang saya tidak berjaya ingat dalam tempoh 60 hari (penahanan).

"Selepas itu hingga sekarang, saya mempunyai masalah dengan nama orang, tanpa sebab, saya lupa nama," kata Irene.

Selain daripada kaedah itu semasa soal siasat, Irene berkata dia juga ada kalanya "dipuji".

"Mereka memberitahu saya bahawa kamu seorang pemimpin berbakat, kamu bazirkan bakat dengan menjadi seorang ‘komunis’. Mereka juga kata, 'kenapa kamu tidak menyokong (bekas presiden MIC) S Samy Vellu, kami boleh pastikan kamu jadi ketua Wanita MIC '.

"... mereka juga berkata saya harus pindah ke Australia. (Semua perkara ini) mencelarukan fikiran saya," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS