Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rizal: Mana mungkin sultan boleh salah faham kenyataan Dr M
Diterbitkan:  Nov 4, 2017 7:40 AM
Dikemaskini: Nov 4, 2017 1:18 AM

Pembantu khas isteri Perdana Menteri Datuk Rizal Mansor berpesan kepada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman agar tidak sesekali menderhaka kepada sultan hanya kerana politik.

Beliau merujuk tindakan Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu yang menulis surat terbuka kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu kenyataan Bugis oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam surat terbuka yang disiarkan semalam, Syed Saddiq antara lain berkata kemurkaan Sultan Selangor terhadap kenyataan Mahathir berpunca daripada salah faham.

Beliau berkata, bekas perdana menteri itu tidak bermaksud menghina seluruh masyarakat Bugis, tetapi mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang sememangnya mengakui berasal daripada keturunan itu.

Bagi Rizal, tidak mungkin Sultan Selangor salah faham dengan kenyataan Mahathir, apatah lagi kenyataan baginda dikeluarkan selepas perbincangan dengan Dewan di-Raja Selangor.

"Mana mungkin seorang Sultan yang disegani dan dihormati boleh salah faham. Jelas ia bukan keputusan baginda berseorangan dan Syed Saddiq seperti menggambarkan baginda menerima nasihat yang salah.

"Wajarkah anak muda yang baru setahun jagung menyertai politik membuat teguran sedemikian ke atas Sultan yang memerintah Selangor dan berjasa kepada rakyatnya?" soalnya dalam kenyataan, semalam.

"Saya faham anda mahu membela ketua dengan harapan kekal popular dalam parti, tetapi jangan sampai sanggup menderhaka kepada Tuanku Sultan," katanya lagi.

Mahathir membuat kenyataan itu ketika himpunan antikleptokrasi pada 14 Oktober lalu. Beliau juga sudah menjelaskan kenyataan itu bukan ditujukan kepada semua masyarakat Bugis.

Sultan Selangor menerusi kenyataan pada 2 Oktober lalu turut bertitah yang Mahathir dilihat cuba menghasut rakyat untuk membenci masyarakat Bugis dan perlu disiasat di bawah Akta Hasutan.

Rizal mendakwa tindakan menegur secara terbuka bukan budaya Melayu, apatah lagi terhadap institusi istana.

"Saya takut jika tindakannya dibiarkan, lebih ramai yang akan menulis warkah terbuka kepada institusi diraja sehingga hilang rasa setia dan hormat kepada Raja-raja Melayu," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS