Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Fakta: MET terlepas pandang ancaman banjir di PP?
Diterbitkan:  Nov 9, 2017 1:15 PM
Dikemaskini: 10:07 AM

Beberapa jam selepas Pulau Pinang dilanda angin kencang dan hujan berterusan, yang mengakibatkan banjir besar, Persatuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) negeri mengkritik Jabatan Meteorologi (MET).

MET didakwa lambat mengeluarkan amaran bencana alam itu.

Pengerusinya, Ooi Eng Hock berkata MET hanya mengeluarkan amaran pada malam 4 November pada jam 9.30 malam apabila hujan lebat telah bermula.

Kerajaan menyangkal dakwaan itu keesokannya, dengan berkata jabatan itu telah mengeluarkan amaran seawal 1 November.

Malaysiakini mengkaji kronologi peristiwa dan mendapati FMM Pulau Pinang dan MET, pada satu tahap, sama-sama betul.

Adakah MET mengeluarkan amaran cuaca buruk sebelum banjir melanda Pulau Pinang?

Ya, MET mengeluarkan amaran tahap kuning bagi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan beberapa kawasan di Perak, Kelantan dan Terengganu pada 1 November, pada jam 1.15 malam.

Ia mengeluarkan sebanyak tujuh notis sebelum banjir besar di Pulau Pinang dan beberapa kawasan di Kedah.

Menurut laman Facebook MET Malaysia, amaran khusus kepada Pulau Pinang boleh diringkaskan seperti berikut:

  • 1 Nov, 12.18 malam: Tahap kuning
  • 2 Nov, pukul 4.50 petang: Tahap kuning
  • 2 Nov, 7.45 petang: Tahap kuning
  • 3 Nov, 1.15 pagi: Tahap kuning
  • 3 Nov, 3.15 petang: Tahap kuning
  • Nov 4, 6.10pm: Tahap amber
  • 4 Nov, 9.30 malam: Tahap merah

Jadi apa masalahnya?

Berdasarkan tujuh amaran tersebut, jelas terdapat amaran tahap kuning yang cukup, tetapi ia berubah mendadak kepada jingga dan merah dalam jangka masa yang singkat.

Sebelum menghuraikan masalah itu, penting untuk kita memahami definisi amaran berwarna.

Menurut laman web rasmi MET, amaran tahap merah dijangka mencapai tahap hujan lebat berterusan dengan jumlah hujan melebihi 240 mm/hari.

Amaran tahap jingga bermaksud dijangka mencapai tahap hujan lebat berterusan, dengan jumlah hujan 60mm.

Amaran kuning bermaksud hujan berterusan yang dijangka berlaku tetapi belum mencapai tahap hujan lebat berterusan. Jumlah hujan tidak ditakrifkan bagi amaran kuning, tetapi akan berada di bawah amaran jingga, 60mm.

Oleh itu, amaran bawah 60mm hujan dinaikkan kepada lebih daripada 240mm sehari dalam masa beberapa jam adalah perubahan yang pantas dan drastik.

Ketika amaran tahap merah dikeluarkan, sebahagian Pulau Pinang sudah banjir. Sementara amaran merah dikeluarkan pada 4 November pukul 9.30 malam, ia hanya disebarkan di Facebook pada 10.03 malam.

Menurut Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang, jumlah hujan harian di negeri itu berkisar dari 3mm hingga 52mm. Ia berjumlah 315mm untuk semalaman dari 4 November hingga 5 November.

Mengapa amaran tahap merah MET hanya datang pada saat-saat akhir?

Ketua pengarahnya, Alui Bahari tidak memberi reaksi terhadap banyak usaha untuk menghubunginya, tetapi seoang jurucakap MET menjawab pertanyaan Malaysiakini.

Malaysiakini, dalam sebuah panduan berita, menunjukkan apa yang melanda Pulau Pinang bukan Typhoon Damrey, tetapi gangguan tropika yang disebut sebagai Invest 95W.

Jurucakap MET berkata ia mengesan gangguan tropika, tetapi sesuatu yang tidak dijangka berlaku.

"MET memantau gangguan tropika ... kami menerima maklumat ini, semuanya telah dikesan oleh MET, tetapi kami tidak menjangkakan ia akan transit selama 15 jam di Pulau Pinang. Itu luar biasa.

"Menurut model (ramalan cuaca), ia sepatutnya menyeberang ke Laut Andaman," katanya.

Model ramalan seperti Sistem Ramalan Global (GFS), Model Alam Sekitar Global Angkatan Laut (Navgem) dan Global Environmental Multiscale (GEM) pada 1 November menunjukkan Invest 95W melintasi Thailand dan ke Laut Andaman.

Bagaimanapun, menjelang 3 November, model GFS meramalkan bahawa Invest 95W akan melalui Pulau Pinang dan berpatah balik di sekitarnya, manakala model Navgem masih meramalkan bahawa gangguan tropika akan terus ke Laut Andaman.

Unjuran yang berbeza menonjolkan ketidaktentuan untuk mengesan gangguan tropika atau taufan.

Kenapa masa transit gangguan tropika di Pulau Pinang luar biasa?

Gangguan tropika, lekukan, badai atau taufan biasanya tidak membuat pusingan yang tajam.

Dengan membuat pusingan U, ia menghabiskan masa yang lebih lama di Pulau Pinang, dan oleh itu, mengakibatkan hujan lebih banyak turun di wilayah itu.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS