Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Guna istilah ARMADA, BERSATU sudah beritahu ROS
Diterbitkan:  Nov 9, 2017 9:53 PM
Dikemaskini: 2:02 PM

Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tariq Ismail mendakwa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengambil sikap membisu selepas menerima permintaan parti untuk menggunakan 'ARMADA' untuk sayap pemudanya.

Beliau berkata BERSATU telah menghantar pindaan perlembagaan parti, termasuk penggunaan nama ARMADA dan SRIKANDI, yang diluluskan majlis pimpinan tertinggi pada Julai lalu kepada ROS.

"Tetapi sehingga sekarang tiada jawapan daripada ROS," katanya di Facebook, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah ROS Surayati Ibrahim bahawa BERSATU boleh diharamkan jika terus menggunakan nama Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) untuk sayap pemudanya.

Menurut Utusan Online, Surayati berkata ia kerana istilah ARMADA untuk sayap pemuda BERSATU tidak pernah diluluskan dalam perlembagaan parti itu, justeru melanggar Akta Pertubuhan 1966.

Dalam pada itu, Ketua ARMADA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya telah mengikut prosedur dan terus berhubung dengan ROS berkaitan pindaan perlembagaan parti.

"Pada 7 November, saya menerima surat daripada ROS untuk disiasat berkenaan kes ini. Saya akan bantu sebaik mungkin dalam proses siasatan," katanya dalam kenyataan.

Lihat Komen
ADS