Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

MALAYSIANSKINI | Ng Seksan barangkali mahsyur dengan hasil seni bina landskap dan rangkaian rumah tamu 'Sekeping' serta penglibatan beliau dalam projek-projek pembinaan komuniti.

Sek San, 57 tahun, seorang yang peramah dan bertutur dengan lemah-lembut ketika ditemui di 'Kebun-kebun Bangsar', sebuah projek taman komuniti yang dibantu beliau dengan sepasukan sukarelawan bertempat di sebuah tanah kosong, seluas 8.5 ekar di cerun bukit di sebuah kawasan kejiranan mewah. 

Tanah itu kosong kerana ia terletak di bawah pilon elektrik.

Usia taman kebun itu baru sekitar lima minggu tetapi ia ditandai dengan bungaan ungu, tanaman mulberi, lidah buaya, tujuh buah tong drum sayuran serta petak sawah yang kecil tetapi sedang berkembang.

Struktur kayu yang dibina para pelajar seni bina bagi projek fakulti mereka juga disumbangkan untuk taman ini menjadi 'arca' artistik.

Selepas empat tahun bermesyuarat dan menulis kertas kerja, Sek San dan pasukan beliau akhirnya diberikan kelulusan mengusahakan tanah itu oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di bawah inisiatif Local Agenda 21 (LA21) pada tahun ini.

Penduduk sekitar sebelum ini melakukan protes membantah taman kebun itu menyatakan ia berisiko terhadap keselamatan mereka dan kestabilan cerun bukit.

Sek San berkata ramai yang telah mula menyokong projek itu, malahan ada penduduk yang terlibat dalam gotong-royong yang dibuat di taman itu pada setiap hujung minggu. Menurut beliau, para penduduk boleh datang dan membantu membersihkan rumput-rampai, menanam dan menyiram tanaman di seluruh taman itu.

Beliau berkata sangat lega secara emosi untuk akhirnya dapat menjadikan projek itu kenyataan, suatu ikhtiar yang penuh kejerihan dan melibatkan malam-malam yang mengambil waktu tidur beliau sepanjang tahun yang berlalu itu.

"Kami tahu apabila kami (kesudahannya) dapat melakukannya, ia akan menjadi sangat baik.

"Kami lihat ruang-ruang awam semakin berkurangan untuk kita bergaul dan bertemu dengan orang lain sekarang, akibatnya orang menjadi terpisah dan mementingkan diri sendiri.

"Selaku seorang aktivis sosial, saya cuba untuk menterbalikkan perkara ini," beliau memberitahu Malaysiakini.

Projek taman ini tumbuh setelah beliau melihat hasil positif dalam projek komunitinya sebelum ini.

Bercucuk tanam di Dhaka

'Malaysian Spring' pada 2013 merupakan projek pertama beliau, juga pertembungan kali pertamanya dengan pihak berkuasa.

Projek itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap kempen Nurul Izzah Anwar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertanding kerusi parlimen dalam pilihan raya umum tahun itu.

Ia diharamkan pihak berkuasa daripada dipamerkan semula di sebuah festival seni di kompleks beli-belah Publika.

Sek San sedang meluaskan projek taman kota beliau ke kem pelarian Rohingya di Bangladesh.

Dalam lawatan beliau ke Dhaka, ibu kota negara itu baru-baru ini untuk memudah carakan sebuah acara bengkel seni bina, seorang arkitek muda Bangladesh yang hadir telah mengambil pengalaman beliau dalam menanam makanan di kawasan perkotaan kerana ia berkemungkinan dapat membantu krisis pelarian Rohingya.

"Setiap hari kira-kira 20,000 orang pelarian melakukan perjalanan merentas sempadan Bangladesh dan hidup di khemah-khemah pelarian. Keadaan hidup begini mendatangkan masalah pemakanan dan penjagaan kesihatan.

"Jadi kami berfikir tentang penyelesaian untuk meringankan beban penghidupan mereka dan mengeluarkan makanan," kata beliau.

Setakat ini, para peserta bengkel seni bina tersebut sedang menguji idea Sek San di kawasan miskin kota di Dhaka.

"Saya masih memantau mereka, kami sedang mencari cara untuk mengeluarkan hasil tanaman secara besar-besaran dan menghantarnya ke kem-kem pelarian," kata beliau lagi.

[Baca berita penuh] 


MALAYSIANS KINI ialah siri warga Malaysia yang patut anda kenali.

Lihat Komen
ADS