Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wisma Tok Guru: 'Terbukti tuduhan Husam tak benar'
Diterbitkan:  Nov 18, 2017 4:02 PM
Dikemaskini: 8:35 AM

Susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu yang menolak permohonan injunksi Datuk Husam Musa bagi menghalang PAS menggunakan tanah Wisma Tok Guru, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata segala tuduhan Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) itu terbukti tidak benar.

Timbalan Menteri Besar Kelantan itu berkata, beliau kini yakin rakyat tidak akan percaya lagi dengan pelbagai tuduhan yang dilemparkan kepada kerajaan negeri.

"Hampir semua tuduhannya setiap kali dalam ceramah yang menyerang kerajaan negeri, memang tidak betul," katanya seperti dipetik Sinar Harian.

"Kini akhirnya jelas menunjukkan kita di pihak yang benar. Ini bukan serangan peribadi namun mahu menegakkan kebenaran," katanya lagi pada himpunan sempena meraikan kejayaan PAS mendapatkan kembali tanah di kawasan Wisma Tok Guru.

Perebutan bangunan itu antara AMANAH dan PAS Kelantan telah berlarutan dan menjadi panas terutama ketika sejumlah 150 ahli PAS 'menggempur' Wisma Tok Guru yang kini menjadi pejabat AMANAH Kelantan, 22 Oktober lalu.

Pada 16 November lalu, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Bache juga membenarkan PAS mengadakan programnya di situ. Pada malam sama, PAS mengadakan solat hajat di sana.

Ketika ditanya tentang status bangunan wisma itu yang belum selesai, Nik Amar yang juga naib presiden PAS hanya berkata akan menunggu sesi pendengaran di mahkamah pada 4 Disember ini.

“Kita tunggu sahaja pada tarikh itu nanti. Kita adakan solat hajat serta majlis kesyukuran dan kita tidak kacau bangunan. Kita hormati prosedur mahkamah dan dalam usaha mendapat keadilan,” katanya lagi seperti dipetik.

'Masih milik Husam'

Dalam pada itu, Biro Undang-undang AMANAH (KANUN) menyifatkan keputusan mahkamah itu sebagai kekalahan kecil bagi isu yang masih tidak selesai.

"Perbicaraan kes saman induk Husam hanya akan bermula 4 Disember ini. Sementara perbicaraan tuntutan harta pusaka waris Datuk Rosli Ibrahim (pemilik asal bangunan yang telah meninggal dunia) akan bermula 7 Januari," kata Timbalan Pengerusi KANUN Wan Anwar Wan Ibrahim.

Justeru, katanya lagi, bangunan tersebut masih milik Husam dan mana-mana pihak tidak boleh mencerobohinya sesuka-hati.

Pertikaian itu bermula selepas Wisma Tok Guru dibeli Setiausaha Kerja PAS Kelantan Mohd Yasin Yusoff. Husam pula mendakwa Rosli ketika hayatnya telah mengeluarkan surat atas nama isterinya menyatakan bangunan itu boleh digunakan AMANAH "sampai bila-bila".

Lihat Komen
ADS