Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Adik Nik Aziz imamkan solat hajat di Wisma Tok Guru

Adik kepada bekas menteri besar Kelantan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat diberi penghormatan memimpin solat hajat PAS Kelantan di Wisma Tok Guru di Salor, Kota Bharu malam ini.

Nik Razi Nik Mat, 72 mengimamkan solat berkenaan selepas Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini menolak permohonan injunksi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor Datuk Husam Musa terhadap pemilik tanah yang menempatkan wisma berkenaan.

Bangunan itu turut menempatkan pusat khidmat ADUN Salor.

Dianggarkan sekitar 2,000 penyokong PAS menghadiri majlis kesyukuran malam ini dan mula membanjiri pekarangan Wisma Tok Guru seawal jam 6.30 petang.

Bagaimanapun tiada kelibat penyokong AMANAH kelihatan meskipun Husam sebelum ini menegaskan pihaknya tidak akan keluar dari bangunan berkenaan selagi tiada keputusan mahkamah dibuat.

Majlis malam ini juga berlangsung dengan aman bermula dengan solat magrib dan isyak berjemaah sebelum disusuli solat sunat hajat.

Walaupun ruang pekarangan Wisma Tok Guru terhad, penganjur turut menempatkan orang ramai untuk bersolat di atas jalan raya berhampiran.

Turut hadir Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan timbalannya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah serta barisan exco negeri dan pemimpin parti peringkat negeri Kelantan.

Sementara itu, PAS juga menaikkan sebuah bendera parti bersaiz gergasi di hadapan bangunan berkenaan sebagai tanda meraikan kejayaan menduduki semula tanah tersebut sebelum program ceramah diteruskan.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan Mahkamah Tinggi Kota Bharu menolak permohonan injunksi Husam terhadap pemilik tanah itu, Mohd Yasin Yusoff bagi menghalang daripada menggunakan tanah dan bangunan tersebut.

Keputusan itu sekali gus membenarkan PAS meneruskan rancangan untuk mengadakan majlis kesyukuran dan solat hajat yang berlangsung malam ini.

Sebelum ini, PAS menegaskan notis supaya Husam keluar daripada premis berkenaan berakhir pada 12 November lalu dan parti itu akan mengadakan satu majlis kesyukuran serta solat hajat malam ini sebagai meraikan kejayaan mendapatkan semula tanah terbabit.

Isu perebutan tanah itu bermula susulan tanah yang asalnya milik bekas ADUN Salor, Allahyarham Datuk Ahmad Rosli Ibrahim yang dinamakan isterinya sebagai pemilik dijual kepada Mohd Yasin dengan harga RM700,000.

Lihat Komen
ADS