Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Polis akan memantau protes anjuran Pakatan Harapan (HARAPAN) terhadap kenaikan harga bahan api tetapi akan menghentikan peserta demonstrasi jika mereka berarak, kata Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Shaharuddin Abdullah hari ini.

Bantahan itu akan diadakan di luar Parlimen bermula tengah malam ini.

"Jika mereka berarak, kami akan menghentikan mereka, jika mereka berhimpun secara aman, kami akan memantau mereka," katanya ketika dihubungi.

Beliau menambah bahawa seramai 10 anggota polis akan ditempatkan di lokasi protes.

Sekiranya perserta himpunan tidak mematuhi arahan polis, Shaharudin berkata mereka akan disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (PAA).

Beliau bagaimanapun enggan menyatakan sama ada polis akan menahan mereka.

Shaharudin juga mengesahkan polis tidak menerima sebarang notis atau  permohonan daripada pihak penganjur himpunan itu.

HARAPAN minggu lepas mengumumkan untuk berhimpun di luar Parlimen selepas harga semua bahan api - RON95, RON97 dan diesel - mencatatkan rekod tertinggi sejak kerajaan memperkenalkan sistem apungan mingguan.

“Kita menyeru kepada seluruh rakyat untuk bersama-sama dalam protes ini bagi memastikan harga bahan api turun dan stabil," kata Naib Ketua Pemuda AMANAH, Shazni Munir Mohd Ithnin.

Shazni yang juga pengarah mobilisasi Pemuda HARAPAN berkata mereka akan berkampung di luar Parlimen jika harga naik semula selepas empat minggu kenaikan berturut-turut.

Pemuda AMANAH dan anggotanya juga telah menganjurkan "flashmob" dan demonstrasi untuk membantah kenaikan tersebut sebelum ini.

Sistem harga minyak mingguan dilaksanakan pada 30 Mac.

Harga baru itu ditentukan oleh harga minyak dunia berdasarkan Mean of Platts Singapura (Mops) dan kekuatan ringgit berbanding dolar AS, yang diumumkan setiap Rabu dan berkuatkuasa pada tengah malam.

Lihat Komen
ADS