LAPORAN KHAS | Bagi banyak kampung Melayu di Melaka, seperti di Kampung Tampoi, Umno sudah menjadi darah daging dalam kehidupan penduduknya.
Nor Azlan Abu Bakar, seorang penduduk yang berusia 30-an, mengenali Umno sepanjang hidupnya dan menjadi ahli Umno selama 13 tahun.
Bersama bapa saudaranya, yang merupakan ketua cawangan Umno Kampung Tampoi, mereka membentuk satu pasukan yang mantap di peringkat tempatan - seorang mewakili orang muda dan yang seorang lagi bagi orang lama.
Tetapi ketika Nor Azlan memutuskan untuk bergabung dengan parti serpihan Umno, BERSATU, tanggapan bahawa 'air dicincang tidak akan putus' teruji.
"Beliau (bapa saudara saya) sangat marah apabila saya meninggalkan parti, amat marah.
"Apabila saya dan rakan-rakan pergi rumah ke rumah untuk memperkenalkan BERSATU, saya menyapa bapa saudara saya.
"Saya diusir dan dimarahi bapa saudara saya sendiri," kata Nor Azlan.
Nor Azlan, yang kini ahli jawatankuasa BERSATU bahagian Tangga Batu, mengakui bahawa hubungan keluarga telah menjadi tegang akibat perpecahan politik itu.
Walaupun ada beberapa ahli keluarga yang menyisihkannya, Nor Azlan bersyukur kerana ibu bapanya tidak bersikap begitu.
Beliau mengakui bahawa mereka masih cenderung kepada Umno dan demikianlah halnya bagi banyak ahli keluarga yang lebih tua.
Tetapi Nor Azlan percaya bahawa dia berjaya meyakinkan ibu bapanya untuk tidak mengundi Umno pada pilihan raya umum akan datang.
"Mereka hanya tidak mahu menukar parti politik," katanya ketika ditemui di bilik operasi pilihan raya umum BERSATU Tangga Batu.
Nor Azlan berkata anggota keluarganya yang lebih muda telah beralih dari Umno kepada BERSATU, termasuk adik-beradiknya dan rakan-rakannya.
Bagaimanapun, BERSATU sedar bahawa usaha untuk merekrut anggota baru di kubu kuat Umno merupakan langkah pertama memberi cabaran serius terhadap Umno.
Kelompok utama sasaran adalah anggota Umno yang kini berada di atas pagar tetapi berpotensi ditarik ekoran rasa tidak puashati berkaitan isu-isu kehidupan semasa.
Anggota BERSATU, Hasrul Hassan melihat ini di kalangan ahli keluarganya, yang tradisinya menjadi penyokong kuat Umno, dan ada juga yang memegang jawatan dalam parti.
Sebagai contoh, saudara perempuan Hasrul adalah ketua Wanita Umno cawangan manakala saudara lelakinya adalah ketua pemuda Umno cawangan.
Saudara lelakinya (yang juga Ketua Pemuda Umno cawangan) masih cenderung kepada Umno, tetapi ahli keluarganya yang lain, termasuk bapanya yang berusia 60-an, dilihanya berfikiran neutral.
Beliau berkata bapanya dapat melihat bahawa kos sara hidup telah meningkat, dan telah mula mempersoalkan apa yang baiknya GST dan pemotongan subsidi terhadap negara dan Melaka.
"Beliau (bapa saya) akan mempersoalkan, apakah kualiti hidup kita bertambah baik dengan GST. Seperti di Melaka, apakah yang dilakukan kerajaan untuk memperbaiki keadaan dengan wang GST?"
Hasrul berkata, walaupun ramai daripada generasi yang lebih tua adalah penyokong tegar Umno, terdapat juga nostalgia terhadap kepimpinan pengerusi BERSATU Tun Dr Mahathir Mohamad dalam tahun 80-an, dengan persepsi bahawa "keadaan lebih baik" pada masa pentadbirannya.
"Apabila kita bercakap di kalangan keluarga, kita mempersoalkan segala-galanya mengenai Najib, apa yang dilakukan perdana menteri, apa yang dilakukan oleh ketua menteri Melaka," katanya.
Satu lagi perkara yang BERSATU cuba manfaatkan adalah persepsi bahawa Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron tidak sebegitu aktif seperti pendahulunya Tan Sri Ali Rustam dalam menghadiri acara kemasyarakatan.
Walaupun Ali Rustam telah menimbul kontroversi dengan komennya "apa lagi Cina mau", beliau dilihat sebagai seorang ketua menteri yang mesra rakyat di kalangan masyarakat Melayu di pinggiran Melaka.
Bagaimanapun, Ali Rustam bertanding di Parlimen Bukit Katil - kerusi pinggir bandar dengan pengundi campuran - dan tidak di kerusi majoriti Melayu pada pilihan raya umum lepas dan tewas kepada calon PKR, Shamsul Iskandar Md Akin.
Kampung-kampung yang dikunjungi Malaysiakini terletak di dalam kawasan Parlimen Tangga Batu dan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, kedua-duanya tidak pernah mempunyai seorang wakil yang bukan daripada Umno.
Tiga lagi kerusi DUN dalam Tangga Batu ialah Sungai Udang dan Pantai Kundor yang dipegang oleh Umno dan Klebang yang dipegang oleh MCA. Semuanya adalah kerusi majoriti Melayu.
Idris adalah Ahli Parlimen Tangga Batu sebelum berpindah ke kerusi negeri Sungai Udang untuk mengambil alih jawatan ketua menteri dalam pilihan raya umum ke-13.
BERSATU dalam siri ceramahnya menggunakan mantan ketua menteri itu sebagai contoh perbezaan dengan Idris.
Dalam satu perhimpunan kecil BERSATU di Sungai Udang, hadirin memberi respons positif apabila Timbalan Ketua BERSATU Melaka, Rafiq Naizamohideen memuji Ali kerana sentiasa menghadiri sebarang acara utama dalam kehidupan pengundinya, seperti majlis perkahwinan, pengkebumian dan juga kelahiran.
Malah, katanya, pada malam sebelum bayi dilahirkan, Ali Rustam datang mengunjungi mereka, kerana dia tahu dia sibuk pada hari berikutnya.
Idris, dakwa beliau sebaliknya, dilihat jarang berbuat demikian.
Abu Bakar Husin, penduduk berusia 78 tahun di Krubong, berkata Ali sering melawat kawasan perumahannya.
Beliau juga ingat kepada bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik yang telah melawat kampung itu sebelum ini.
Bagaimanapun, penyokong Umno tidak berdiam diri terhadap percubaan BERSATU untuk meraih sokongan.
Pada bulan November tahun lepas, aktivis Pakatan Harapan yang cuba mempromosikan ceramah di Tangga Batu berdepan dengan insiden kenderaan mereka dibakar.
Bagaimanapun, Rafiq mendakwa kejadian itu tidak disenangi penduduk tempatan yang sangat menghormati Dr Mahathir, dan ia menimbulkan rasa simpati terhadap BERSATU.
"Masyarakat di Kampung Krubong merasa sangat marah... Rasa simpati telah membantu meningkatkan sokongan kepada BERSATU," kata Rafiq.
Apabila Dr Mahathir melawat kampung pada 26 November tahun lepas, beberapa penduduk tempatan, termasuk Fazizah Dat, mendaftar sebagai ahli BERSATU.
Rafiq berkata, BERSATU menggunakan insiden itu dan ceramah sebagai landasan untuk mengembangkan pengaruhnya di kubu kuat Umno itu.
Parti itu juga telah mula menubuhkan jenteranya di semua daerah pengundian di Tangga Batu.
