Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKR: Rakyat M'sia ikat perut bukti Najib gagal
Diterbitkan:  Nov 27, 2017 10:36 AM
Dikemaskini: 2:53 AM

Ketua Pemuda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kajiselidik yang mendapati 15 peratus rakyat Malaysia terpaksa mengikat perut baru-baru ini membuktikan kegagalan Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri dan menteri kewangan.

Beliau merujuk kepada kaji selidik yang dikeluarkan Merdeka Centre yang mendapati rakyat Malaysia masih terhimpit akibat keadaan ekonomi gawat pada hari ini.

"Kajian itu mendapati bahawa 15 peratus rakyat Malaysia terpaksa mengurangkan sekali makan atau 'skip' makan sekali sehari untuk menampung hidup.

"Dapatan ini amatlah menggusarkan, namun tidak mengejutkan kerana rakyat Malaysia sering kali menyampaikan keluhan sebegini namun kerajaan persekutuan dan para menteri terus tidak peduli," katanya dalam kenyataan media.

Malah Nik Nazmi berkata kerajaan juga menafikan perkara itu  dengan mencanang keadaan ekonomi yang tidak menggambarkan realiti sebenar.

"Ketika Perdana Menteri Najib Razak terus becakap tentang ekonomi pendapatan tinggi lebih kurang dua tahun saja lagi, rakyat mengikat perut.

"Kutipan (Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) berbillion yang membebankan rakyat akibat kenaikan harga barang tidak dirasai rakyat.

"Harga petrol pula lebih kerap meningkat dan kerajaan tidak menetapkan sebarang mekanisme untuk melindung kepentingan rakyat," tegasnya.

Nik Nazmi berkata, belanjawan yang dibentang kerajaan pula penuh dengan "gula-gula" namun langsung tidak membantu menangani beban ekonomi meruncing.

Bahkan katanya, kerajaan terus memotong peruntukan bagi perkara asas seperti pendidikan dan kesihatan.

"Pada masa yang sama kadar gaji rakyat terus mendatar, rakyat tidak lagi mampu memiliki rumah tersendiri biarpun rumah-rumah mampu milik di bawah skim kerajaan dan hutang individu juga meningkat bagi menampung kekurangan pendapatan serta mebiayai pelajaran," katanya.

Kajiselidik oleh Merdeka Centre baru-baru ini mendapati rakyat Malaysia mengalami kegawatan ekonomi di tenga-tengah angka pertumbuhan.

Kajian itu mendapati 15 peratus daripada 1,203 responden mengikat perut untuk memenuhi keperluan harian, meningkat dua peratus berbanding Januari.

Satu daripada lima responden berkata mereka mengambil hutang baru dalam bentuk pinjaman peribadi atau kad kredit manakala 11 peratus terpaksa melepaskan harta benda mereka.

 

 

Lihat Komen
ADS