Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemimpin BN pertahan gaji pengarah JASA
Diterbitkan:  Nov 28, 2017 11:42 AM
Dikemaskini: 4:23 AM

Pengarah Komunikasi Strategik BN Eric See-To mempertahankan gaji yang dibayar kepada Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Datuk Puad Zarkashi melebihi RM20,000 sebulan.

Beliau menjawab persoalan dibangkitkan Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengenai gaji Puad yang lebih tinggi daripada gaji menteri komunikasi dan multimedia.

"Wan Azizah pada dasarnya menjawab soalannya sendiri mengenai gaji Ketua Pengarah (JASA) apabila beliau menyatakan bahawa ia adalah berdasarkan Senarai Perjawatan 2018 yang diluluskan kerajaan di bawah kod gaji VU7.

"Ini adalah kadar yang diwartakan sepadan dengan mereka pada jawatan itu. Tiada apa yang luar biasa mengenainya," kata See-To dalam kenyataan disiarkan di Facebooknya semalam.

Wan Azizah (gambar) semalam berkata gaji sebanyak RM20,592 yang diterima Puad lebih tinggi daripada gaji bulanan menteri komunikasi dan multimedia yang hanya menerima gaji sebanyak RM14,907 sebulan.

Jasa diletakkan di bawah kementerian berkenaan.

Selain itu Wan Azizah turut mempersoalkan peruntukan RM12.8 juta wang kerajaan bagi bayaran emolumen kepada 272 kakitangan JASA.

See-To berkata, antara tugas JASA ialah menangani berita palsu serta pembohongan pembangkang melalui portal dalam talian dan media sosial.

Beliau memberikan contoh dalam tempoh dua hari ini, Anggota Parlimen DAP, Zairil Khir Johari mengeluarkan kenyataan mengelirukan apabila mendakwa dua buku teks baru Bahasa Inggeris diperolehi tanpa melalui tender terbuka.

"Walaupun hakikatnya penerbit-penerbit itu adalah pemegang lesen tunggal dan satu-satunya sumber untuk dua buku teks itu – maka tender terbuka tidak diperlukan kerana pembekal merupakan dua penerbit itu.

"Khir Johari mungkin tidak faham buku teks adalah harta intelek yang dimiliki oleh pemegang lesen dan berbeza dengan roti canai yang mempunyai banyak pembekal yang mana anda mungkin boleh membuka tender untuk itu," kata See-To.

Katanya, dalam kes lain semalam, ADUN Teratai dari DAP, Tiew Way Keng menyebarkan borang palsu permohonan MyKad yang meletakkan syarat seseorang pemohon perlu berikrar untuk mengundi BN sebelum memohon kad pengenalan. 

"Berita palsu dan pembohongan adalah bahaya kerana ia menjejaskan keyakinan rakyat dan ekonomi dan oleh itu mesti ditangani dengan cepat dan bijak. Ini adalah sebahagian besar tugas JASA.

"Jika pemimpin-pemimpin Pakatan (HARAPAN) dan pasukan propaganda mereka dapat mengurangkan jumlah atau menghapuskan berita palsu dan pembohongan maka saya yakin jumlah kakitangan JASA dapat dikurangkan," kata See-To.

Kenapa gaji Saifuddin RM12,000?

Sementara itu See-To berkata Wan Azizah juga sepatutnya bertanya mengapa Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail dibayar gaji RM12,000 sebulan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Saifuddin sebelum ini dilantik sebagai sebagai pembantu komunikasi Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Menurut See-To, gaji berkenaan adalah lebih tinggi daripada gaji sebanyak RM11,250 yang diterima wakil rakyat Pulau Pinang dan hanya kurang RM2,000 daripada gaji pokok Guan Eng.

"Apakah peranan yang dimainkan oleh Saifuddin dan bagaimana beliau menyumbang kepada negeri Pulau Pinang dan adakah ia memalukan apabila Setiausaha Agung partinya telah menjadi orang bawahan Setiausaha Agung parti lain," soalnya.

Tambahnya sebagai ahli parlimen di Pulau Pinang Wan Azizah juga sepatutnya bertanya keperluan bagi kerajaan negeri melantik 46 kakitangan untuk tujuan komunikasi.

Selain itu katanya kerajaan negeri itu juga membelanjakan lebih RM40 juta dalam tempoh beberapa tahun lalu untuk menerbitkan Buletin Mutiara, yang didakwanya sebagai akhbar propaganda DAP.

"Beliau sepatutnya meminta DAP untuk membiayai perbelanjaan kasar ini dan bukannya meminta kerajaan negeri Pulau Pinang untuk menanggung bil," katanya.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS