Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wan Azizah persoal gaji pengarah JASA lebih tinggi dari menteri

PARLIMEN | Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan ismail mempersoalkan kewajaran ketua pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) - sayap propaganda kerajaan - mendapat gaji sehingga RM20,592 setiap bulan.

Beliau berkata, jumlah itu malah lebih tinggi berbanding menteri Komunikasi dan Multimedia yang menerima gaji bulanan RM14,907.

JASA adalah agensi yang terletak di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

"Semakan terhadap Senarai Perjawatan 2018 mendapati ketua pengarah JASA dibaya gaji berdasarkan kod gaji VU7 sehingga maksimanya RM20,592 sebulan, lebih dari gaji menteri Komunikasi dan Multimedia," katanya dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau turut mempersoalkan peruntukan RM12.8 juta wang kerajaan bagi bayaran emolumen kepada 272 kakitangan JASA.

"Apa rasionalnya membayar emolumen RM12.8 juta kepada JASA yang peranannya hanya juru kempen Umno BN?

"Apa pula kewajaran membayar gaji ketua pengarah JASA melebihi gaji menteri persekutuan...(dan) kakitangan awam yang berkhidmat berpuluh tahun?" soalnya.

Beliau berkata, gaji pekerja JASA seharusnya dibayar Umno dan BN sendiri, bukannya wang dari cukai yang dikutip rakyat.

Ketika sesi penggulungan perbahasan Bajet 2018, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari berkata gaji ketua pengarah JASA ditetapkan Kementerian Kewangan.

"Gaji ketua pengarah ditentukan Kementerian Kewangan, sebelum beliau dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA)," katanya.

Beliau berkata lagi, antara tugas JASA adalah membuat perancangan dan strategi bagi meningkatkan pemahaman rakyat tentang dasar kerajaan, berdasarkan maklumat dan fakta yang tepat.

"JASA berperanan memberi penjelasan tentang dasar kerajaan dan isu semasa. Ini selaras dengan tujuan penubuhannya iaitu memelihara kestabilan politik dengan memberi kefahaman yang jelas kepada masyarakat," katanya lagi.

Badan propaganda kerajaan itu seringkali dilihat sebagai alat untuk menyerang pembangkang dan menjawab isu yang menjejaskan BN.

Berkenaan tambahan peruntukan bagi badan itu, Jailani berkata JASA memerlukan tambahan 31.1 peratus untuk membayr gaji kakitangan.

Katanya, ini kerana 177 kakitangannya yang telah bekerja selama 15 tahun telah dijadikan pekerja tetap.

Dalam Bajet 2018, JASA menerima peruntukan RM30 juta berbanding RM22.9 juta untuk tahun ini. Ia sebahagian daripada tambahan RM603 juta bagi keseluruhan peruntukan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Lihat Komen
ADS