Bermula pandang pertama
melihat kamu di depan mata
terasa debar di dada
menahan rasa bila kau ada
Kau buat ku terpaku
sepertinya diriku
yang mahu
diri kamu
Dan bila kauhadir bagai satu misteri
ternyata diriku bagai sudah dijampi
dan bila kau hambakan hatiku kembali
ternyata hanya kau harus aku cintai
Ketika Hazami (bawah) menyampaikan lagu Jampi dengan meyakinkan semasa siri Gegar Vaganza musim keempat malam tadi ada perasaan ngilu menyelinap ke dalam jiwa.

Ia adalah perasaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata, sehinggalah tiba-tiba imej Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang megah terpacak di tengah Kuala Lumpur itu hadir menjelma dalam kepala.
Jampi ialah lagu yang disampaikan - dan dipopularkan - oleh Hael Husaini iaitu bekas pelajar Akademi Fantasia musim ke-10.
Jika lagu Aiman Tino itu mempunyai 'hantu' yang mudah menangkap jiwa, Jampi juga tidak ada kurangnya. Digandingkan pula dengan kehangatan Persidangan Agung Umno (PAU) ke-71 bermula esok, ia adalah gemuruh yang boleh menyebabkan berdirinya bulu roma ramai orang.
Ketika ramalan dan borak-borak tentang acara tahunan itu tertumpu kepada politik dan perjuangan menjadi terlalu mainstream, mari kita lihat ia dari perspektif yang lebih santai.
Bermula esok himpunan Umno itu akan dimulakan dengan persidangan sayap-sayap parti keramat Melayu berkenaan.
Maka di situlah kita berpeluang menyaksikan sekian ramai jejaka macho yang sejati. Bukannya tidak ada lelaki macho di tempat dan ketika lain, cuma di PWTC dua tiga hari nanti mereka - lelaki-lelaki macho sebenar - akan berkumpul dengan megah dan penuh kebanggaan.
PAU kali ini adalah yang terakhir sebelum Umno berdepan ujian getir pilihan raya umum (PRU) ke-14.
Beberapa PRU yang lepas sudah membuat parti itu terluka di sana sini. Justeru pada susuk perwakilan serta pemimpin Umno yang akan bermukim di PWTC itulah terletak harapan bangsa. Apa lagi ramuan yang lebih mantap sekali selain ucapan berapi-api daripada tokoh yang penuh macho?

Menghormati pandangan Datin Seri Rosmah Mansor, lelaki sejati yang dikagumi wanita ialah lelaki yang macho, bukan yang sibuk menggunakan produk kecantikan keterlaluan.
"Kita suka orang macho, bukan kulit lembut,” katanya.
Ia memang sangat tepat. Seorang isteri perdana menteri mengingatkan kita semua kepada makna jantan sejati. Selain handsome yang sepatutnya menjadi bonus, lelaki sebenar bersifat macho.
Cuma benar sangatlah, kalau ada kedua-dua sifat itu - macho dan berkulit lembut - ia adalah umpama bulan jatuh ke paha.
My heart goes sha la la la la
sha la la in the morning
Oh oh oh sha la la la la
sha la la in the sunshine
Sha la la la la
sha la la in the evening
sha la la la la
sha la la just for you
Perwakilan Umno di kalangan kaum Adam mesti menampakkan diri mereka sebagai anak jantan yang tidak gentar kepada ribut taufan yang melanda.
Pedulilah sama ada setiap seorang berasal dari mana pun, yang penting setiap satu adalah bangsa Umno yang berdarah pahlawan dan mewarisi perjuangan keramat membela bangsa sendiri.
Sudah tentu semua mata rakyat Malaysia akan terarah ke PWTC sepanjang tempoh persidangan berlangsung. Anggota Umno yang lelaki wajib menunjukkan mereka layak menggalas amanah yang diberikan penyokong masing-masing.
Mereka mesti mengembalikan makna macho pada segenap segi. Tidak hanya di pentas ceramah, di padang bola atau golf, perwakilan serta pimpinan Umno tidak ada pilihan kecuali membuktikan sifat macho masing-masing.
Jika ada masalah boroi di sana sini, jangan jadikan ia sebagai satu alasan. Boroi juga - jika kena kaedahnya - boleh menambahkan lagi seri serta definisi macho.
Untuk menghiburkan hati selepas bersidang serta memerah otak memikirkan hal bangsa serta negara, bolehlah diisi waktu senggang dengan hiburan yang ringan, seperti lagu-lagu sesuai.
Anak Kecil Bermain Api atau Inilah Barisan Kita mungkin boleh dimainkan sekali dua, tetapi tidak lebih daripada itu. Ia juga sudah terlalu mainstream.
Ada banyak lagi lagu yang menyegarkan minda untuk dinikmati.
Mengapakah kita selalu berjauh hati
selalu sendiri dan terasa hati
apakah kita tak sehaluan lagi
berat bagiku
berat bagiku
Apakah salahku
kau buatku begini
selalu sendiri, tinggal sendiri
Cinta yang kupinta
kaubalas dengan dusta
Berat bagiku
melepaskanmu...
bukan mudah bagiku untuk melalui semua ini
pabila kenangan kita mengusik jiwa dan hati
kala malam tidurku tak lena mengenangkanmu
Lagu Terakhir oleh Sufian Suhaimi itu berirama perlahan, memang, namun ia tetap boleh menghiburkan juga tanpa menjejaskan macho seseorang.
Jika mahu lebih bernada segar boleh saja dikumandangkan suara Faizal Tahir, Joe Flizzow, Altimet dan Sonaone itu:
Negaraku
negaraku
kuberi sepenuhnya
kuberi sepenuhnya
ini negaraku
oh darahku
hiduplah sepenuhnya
dirgahayu semua
Ia tentu menyegarkan jiwa semua orang selepas dewan persidangan di PWTC itu bergema dengan ucapan-ucapan berapi-api dan penuh ilham yang bernas-bernas.
Jika mahu cuba menjadi nakal sedikit, boleh pula dinyanyikan lagu perlahan ini.
Bersih bersih bersih
bersihlah negeriku
malu malu malu
malulah hati
kotornya teramat gawat
ya kotornya sangat
inilah amanat yang menjadi keramat
Bersih bersih bersih
bersihlah diri
sebelum menyapu sampah dan debu-debu
nyanyian berkarat sampai ke liang lahad
atas nama rakyat yang berwajah pucat
Negeriku negeri para penipu
terkenal ke segala penjuru
tentu saja bagi yang tak tahu malu
inilah sorga
sorganya sorga
negeriku, ngeriku
- Negeriku/Iwan Fals
Tiba-tiba rasa ngilu itu pun terasa datang sekali lagi.
Rencana ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
