Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini berkata beliau tidak faham kenapa ramai lelaki hari ini menggunakan produk kosmetik dan kecantikan.

“Sekarang ini di pasaran, lelaki pun nak jaga kulit seperti wanita. Di pasaran macam-macam jenis kosmetik untuk lelaki yang diiklankan.

"Saya faham perempuan nak cantik dan lelaki pun nak handsome. Tapi saya tak faham kenapa (ramai) lelaki nak handsome. Kita suka orang macho, bukan kulit lembut,” katanya.

Rosmah berkata demikian di hadapan lebih 50 pengusaha produk kecantikan dan kesihatan di Majlis Sepetang Pengusaha Produk Kesihatan dan Kecantikan Buatan Tempatan bersama Perdana Menteri di ibu negara hari ini.

Bagaimanapun, Datuk Seri Najib Razak tidak dapat hadir kerana terpaksa mempengerusikan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sementara itu, Rosmah tanpa berselindung akui bahawa beliaulah sebenarnya yang dikawal suaminya bukan sebaliknya seperti yang dikatakan orang ramai.

Menurut Rosmah, walaupun dalam keadaan tidak sihat kerana terlibat dalam pelbagai program dan perlu mengiringi Najib ke luar negara untuk urusan negara, beliau tetap diminta untuk menggantikan suaminya.

“Saya tidak seharusnya ada di sini. Saya dimaklumkan jemputan pada program ini adalah untuk perdana menteri, yang secara kebetulan suami saya. Tetapi beliau terpaksa menghadiri suatu mesyuarat penting.

“Jadi beliau (Najib) telah memerintahkan saya untuk hadir ke program ini. Sesiapa kata saya kawal Datuk Seri (Najib) adalah tidak betul, Datuk Seri yang kawal saya.

“Dia (Najib) kata kepada saya, tidak kira awak batuk atau demam, awak pergi saja,” kata Rosmah.

Rosmah turut berkata, tidak mudah menjadi isteri kepada perdana menteri dan meminta masyarakat  agar memahami cabaran yang terpaksa dilaluinya.

“Saya ingin (anda) fahamkan kehidupan saya. Ingat senang hendak jadi isteri kepada seorang pemimpin? Apa pun kena alami pelbagai dugaan.

“Kalau tadi saya terlambat, saya mohon maaf. Saya kena makan ubat untuk meredakan batuk. Saya sudah lama tidak kena batuk dan demam,” katanya.

Hadir sama pada majlis tersebut personaliti media sosial Nursajat, Wak Doyok, Norman Hakim dan isterinya Memey Suhaiza.

Lihat Komen
ADS