Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

DUN JOHOR l Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini menafikan dakwaan yang beliau terlibat dalam rasuah berkaitan hartanah di negeri itu.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tak berasas tersebut. Ia adalah fitnah, tidak benar dan tidak bersangkutan dengan saya.

"Pentadbiran saya tidak menerima apa-apa suapan, tidak akan menerima apa-apa suapan dan akan menentang segala usaha untuk memberi apa jua bentuk suapan kepada saya dan pentadbiran saya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Bajet 2018 negeri itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Minggu lalu, Wong Shu Qi (DAP-Senai) bertanya sama ada Khaled ada menerima sejumlah RM12 juta bagi menukarkan status hartanah bumiputera kepada bukan bumiputera, berdasarkan dokumen kenyataan saksi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bocor di internet.

Kenyataan saksi itu milik Amir Shariffuddin Abd Raub, salah seorang yang dituduh dalam kes itu bersama-sama bekas exco kerajaan negeri Datuk Abdul Latif Bandi (gambar) awal tahun ini.

SPRM kemudian mengesahkan kebocoran dokumen tersebut, manakala Amir mendakwa kenyataannya dalam dokumen yang tersebar itu telah diubah dan membuat laporan polis.

'Wong langgar undang-undang'

Sementara itu, Khaled berkata beliau tidak tahu tentang kewujudan kenyataan saksi ketika ia dibangkitkan Wong, dan tiada cara untuk mengesahkan ketulenannya.

Beliau juga mendakwa Wong telah melakukan kesalahan dengan mendedahkan dokumen rahsia di DUN, apatah lagi dokumen tersebut dikatakan telah dipinda dengan maklumat palsu.

Katanya lagi, andainya sidang DUN memang merasakan beliau perlu menjelaskan dakwaan tersebut, memadai baginya untuk menyatakan beliau berada di luar negara atas pelbagai sebab dan bukannya di pejabat Badan Perhubungan Umno Negeri pada tarikh yang disebut dokumen tersebut.

"Apatah lagi untuk menerima rasuah," katanya.

Dalam ucapannya, Khaled turut membidas wakil rakyat pembangkang yang menurutnya tidak faham proses undang-undang, termasuk kenyataan tertuduh tidak boleh dijadikan bukti sebelum dibuktikan di mahkamah.

"Maka sesiapa yang memperoleh kenyataan itu, mereka perlu lebih berhati-hati. Kita mesti faham yang kandungannya tidak semestinya benar, ia boleh diragui, dicabar.

"Apatah lagi mereka yang memperoleh atau membaca dokumen seumpama itu adalah seorang wakil rakyat. Pastinya kita harap seorang wakil rakyat tahu tentang perkara ini," katanya lagi.

Khaled berkata beliau menyerahkan pihak bertanggungjawab sama ada akan mengambil tindakan terhadap Wong atau tidak.

Lihat Komen
ADS