Seorang aktivis Orang Kelainan Upaya (OKU), Isaiah Yesaya memberi amaran kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar membebaskan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau 'berdepan kebangkitan rakyat'.
Beliau memberi amaran itu selepas berjalan sejauh 2,780 kilometer selama 51 hari sebagai inisiatif kempen untuk membebaskan Anwar.
Bercakap di luar kompleks Pasar Seni di Kuala Lumpur yang merupakan perhentian terakhir perjalanannya, Yesaya berkata perjuangan untuk membebaskan Anwar belum berakhir.
"Saya beri amaran, ataupun saya bagi syarat kepada Datuk Seri Najib perdana menteri kita.
"Saya cabar dengan dia, kalau dia betul-betul seorang jantan, berhadapan dengan OKU, bebaskan DSAI malam ini juga!" kata ahli PKR Batu merujuk ucapan Najib terhadap Anwar ketika Perhimpunan Agung Umno Khamis lalu.
"Jikalau beliau tak boleh bebaskan Anwar, kami akan bangkit. Rakyat akan bangkit untuk bebaskan Anwar" kata Isaiah yang diiringi oleh Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Naib Presiden PKR Tian Chua, Anggota Parlimen Wangsa Maju, Tan Kee Kwong dan sebilangan penyokong.
Yesaya juga menggesa para penyokong yang berkumpul untuk menyertai kempen bebaskan Anwar.
"Beliau wajib dibebaskan dari penjara. Itu adalah tanggungjawab setiap rakyat Malaysia untuk membebaskan Anwar.
"Kalau kita keluarkan Anwar, maka tanggungjawab Anwar terhadap rakyat negara ini adalah untuk selamatkan kita daripada cengkaman (masalah) ekonomi. Beliau mempunyai kebolehan tersebut.
"Jikalau seorang OKU boleh timbul dari 31 juta rakyat Malaysia, dengan berani menjelajah 2,780km, berpuasa 51 hari, saya cabar tuan-tuan dan puan-puan yang sempurna, untuk masa depan anak-anak kita, kita perlu bebaskan Anwar. Dan kita perlu bebaskan negara, selamatkan Malaysia," katanya dengan penuh semangat.
Dari keseluruhan perjalanan menjelajah sembilan negeri di semenanjung, Yesaya berkata dia berjalan sejauh 472.5km dengan hanya minum air.
Di pelbagai hentian terdapat program yang dianjurkan oleh pemimpin PKR tempatan dan penyokong kempen Bebas Anwar.
