Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kami ada sampai pelan C, kata Mahathir
Diterbitkan:  Dec 15, 2017 12:00 PM
Dikemaskini: 4:18 AM

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Pakatan Harapan (HARAPAN) sudah bersedia dengan alternatif lain jika HARAPAN gagal didaftarkan secara rasmi dan partinya sendiri, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dibatalkan pendaftaran.

Beliau berkata, rancangan itu penting bagi berhadapan dua perkara itu yang didakwanya usaha kerajaan untuk menggagalkan usaha HARAPAN mengalahkan mereka pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.

"(Untuk BN terus berkuasa) Pembangkang dihalang daripada menawarkan alternatif kepada BN pada PRU akan datang.

"Untuk melakukannya kerajaan hanya perlu menolak atau menangguh pendaftaran HARAPAN atau membatalkan pendaftaran (BERSATU), parti pilihan ahli dan penyokong Umno yang tidak berpuas hati dengan parti itu.

"Tetapi Najib akan tetap kalah. Pembangkang boleh kembali kepada pelan B dan pelan C," kata Pengerusi HARAPAN itu di blognya, hari ini.

Pendaftaran HARAPAN dilihat penting terutama agar empat parti komponennya - PKR, DAP, BERSATU dan Parti Amanah Negara (AMANAH) - dapat bertanding menggunakan satu lambang pada PRU nanti.

HARAPAN sebelum ini mendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (ROS) sengaja menangguhkan pendaftaran mereka.

Namun Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata penangguhan itu antaranya kerana masalah dihadapi BERSATU yang tidak membuat mesyuarat agung tahunan (AGM) yang sepatutnya dilaksanakan September lalu.

Mahathir bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut 'pelan C' itu.

Bekas perdana menteri itu juga sekali lagi mengecam tindakan kerajaan terus mengeluarkan belanja besar untuk BR1M, yang menurutnya diberikan kepada semua peringkat masyarakat - tidak hanya kepada yang berpendapatan rendah - apabila PRU semakin hampir, walaupun kerajaan sendiri berhadapan masalah kewangan.

"Secara asasnya ia adalah rasuah, rasuah terang-terangan yang bertentangan dengan undang-undang," katanya.

"Dari mana wang berbilion ringgit itu datang?" soalnya.

"Kerajaan mungkin boleh pinjam tetapi pembayaran semula memerlukan wang. Kegagalan untuk membayar hutang boleh menyebabkan negara diisytihar bangkrap," katanya.

Lihat Komen
ADS