Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Laporan: Sindiket seludup manusia masih aktif di sempadan
Diterbitkan:  Dec 25, 2017 2:44 PM
Dikemaskini: 7:00 AM

Sindiket penyeludupan manusia di sepanjang sempadan Thai-Malaysia bergerak aktif seperti biasa meskipun aktiviti haram itu kembali mendapat perhatian baru-baru ini.

Sumber memberitahu New Straits Times bahawa sindiket pemerdagangan manusia itu mengenakan bayaran antara RM2,500 dan RM3,500 untuk menyeludup pendatang ke sempadan, terutamanya dari Myanmar dan Bangladesh.

"Sindiket ini bersedia menghadapi risiko ditangkap demi mendapat keuntungan. Dari sempadan, pendatang tanpa izin akan dibawa ke destinasi seperti Kuala Lumpur dan Pahang.

"Para penyeludup akan membawa masuk pendatang tanpa izin, kebanyakannya dari Myanmar dan Bangladesh, melalui Sungai Golok dan bergerak di laluan tikus sebelum menghantar mereka ke destinasi seterusnya dalam kereta atau van," kata sumber itu.

Sumber itu juga mengatakan bahawa sindiket-sindiket itu sering beralih di antara 150 laluan tikus sepanjang sempadan Kelantan-Thailand untuk mengelirukan pihak berkuasa.

Komander Agensi Kawalan Perbatasan Kelantan Mohd Asri Yahya memberitahu NST bahawa purata 15 pendatang diseludup setiap hari oleh sindiket ini, yang terdiri daripada rakyat Malaysia dan Thailand.

"Sindiket-sindiket ini akan menggunakan kawasan terpencil antara Panglima Bayu dan Rantau Panjang di sini sebagai pintu masuk.

"Kami percaya bahawa sindiket itu telah menggandakan penyeludupan manusia melalui Sungai Golok semasa banjir baru-baru ini," katanya.

Pemerdagangan manusia merentas sempadan itu kembali menjadi perhatian baru-baru ini selepas NST menerbitkan laporan bertajuk “Was there a cover-up in Wang Kelian?” yang merujuk kepada penemuan kubur besar di Perlis pada tahun 2015.

Pada Mei tahun itu, pihak berkuasa Malaysia dimaklumkan mengenai kem pemerdagangan manusia dan kubur besar oleh pihak berkuasa Thailand, yang akhirnya membawa kepada penemuan 139 kubur dan berbelas kem pemerdagangan sementara.

Laporan NST mendakwa terdapat usaha menyembunyikan kes itu dengan memusnahkan bukti, serta mengubah laporan dan dokumen semasa siasatan dijalankan.

Semalam, Bukit Aman menjawab laporan itu dan mengesahkan bahawa timbalan ketua polis Perlis mengarahkan kem di Wang Kelian itu dimusnahkan bagi mengelakkan kemasukan semula warga asing.

"Ia bukan keperluan untuk kami memulihara kawasan atau tidak memusnahkan kem berkenaan kerana penilaian kes pada masa itu adalah kesalahan imigresen.

"Tujuan utama untuk memusnahkan kem itu adalah bagi mengelakkan kawasan itu digunakan sebagai pangkalan oleh pendatang asing," kata Bukit Aman.

Lihat Komen
ADS