Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis: Kem Wang Kelian dimusnah untuk elak dimasuki warga asing
Diterbitkan:  Dec 24, 2017 12:42 PM
Dikemaskini: 5:34 AM

Polis Perlis mengarahkan agar kem pemerdagangan manusia dan kubur besar di Wang Kelian dimusnahkan untuk mengelak warga asing lain memasuki semula kawasan itu.

Perkara itu dinyatakan Bukit Aman ketika menjawab 17 soalan daripada akhbar berbahasa Inggeris, News Straits Times yang melaporkan usaha menyembunyikan penemuan kem berkenaan pada 2015.

"Kem itu dimusnahkan atas perintah timbalan ketua polis Perlis sebagai langkah pencegahan untuk mengelak warga asing lain masuk atau memasuki semula kawasan itu dan menggunakannya sebagai pangkalan mereka.

"Ia bukan keperluan untuk kami memulihara kawasan atau tidak memusnahkan kem berkenaan kerana penilaian kes pada masa itu adalah kesalahan imigresen.

"Tujuan utama untuk memusnahkan kem itu adalah bagi mengelakkan kawasan itu digunakan sebagai pangkalan oleh pendatang asing," kata polis.

Menjawab soalan mengapa kem itu tidak segera dikepung dan kubur digali semula, Bukit Aman berkata selepas penemuan itu seluruh kawasan berkenaan diisytiharkan sebagai zon operasi.

"Kubur yang dikesan ditandai dan hanya akan digali sebaik semua operasi di kawasan itu berhenti. Hanya selepas kawasan itu diyakini betul, baru pasukan penyiasat dan forensik dibenarkan masuk," jelasnya.

Polis berkata langkah keselamatan juga diambil kira sebelum memasuki kawasan itu disebabkan bentuk muka bumi yang curam dan kemungkinan dipenuhi bahan letupan.

Sementara itu Bukit Aman juga menafikan ada pegawai polis yang disyaki bersekongkol dengan sindiket pemerdagangan manusia dalam kes berkenaan.

"Tidak ada bukti untuk menunjukkan ada pegawai polis yang terbabit dengan sindiket dalam kes ini," kata polis ketika ditanya sama ada terdapat anggotanya yang pernah diambil tindakan di bawah undang-undang atau menghadapi tindakan disiplin.

Bagaimanapun Bukit Aman berkata empat individu disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670).

Pasukan keselamatan itu juga sedang memburu 10 lagi suspek dipercayai rakyat Thailand dan seorang warga negara Bangladesh.

NST pada Rabu lalu menyiarkan laporan bertajuk “Was there a cover-up in Wang Kelian?” yang merujuk kepada penemuan kubur besar di kawasan itu pada 2015.

Laporan itu mendakwa terdapat usaha menyembunyikan kes itu dengan cubaan memusnahkan bukti serta mengubah laporan dan dokumen lain semasa siasatan.

Susulan itu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berkata pihaknya akan menghubungi badan seumpamanya di Thailand untuk mendapatkan jawaban mengenai kubur besar di Wang Kelian itu.

Pada 1 Mei 2015, pihak berkuasa Malaysia dimaklumkan mengenai kem pemerdangangan manusia dan kubur besar itu oleh pihak berkuasa Thailand.

Pasukan keselamatan kemudian memeriksa sempadan dan akhirnya menemui 139 kubur pada 24 Mei bersama beberapa lagi kem seumpama itu.

Lihat Komen
ADS