Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PAS menafikan dakwaan mereka pernah mengkafirkan mana-mana individu secara langsung, sebaliknya hanya memperkatakannya secara umum melalui batas-batas iman dan kufur, kata naib presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Menurut beliau, dalam isu tersebut terdapat banyak kekeliruan di kalangan masyarakat umum.

"Dalam isu ini kita kena jelas. Dalam soal kafir-mengkafir ini PAS tidak pernah mengkafirkan sesiapa. Banyak orang keliru dalam isu ini.

"Apa yang disebut oleh PAS adalah garis-garis atau batas-batas iman dan kufur. Kita tidak kata orang ini kafir, orang itu kafir, cuma batas-batas iman dan kufur.

"Ini pun disebut dalam Mustika Hadis yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri," katanya kepada media ketika ditemui di pejabatnya di Kota Bharu, hari ini.

Mohd Amar yang juga adalah timbalan menteri besar Kelantan berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilaporkan menyindir Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang bekerjasama dengan Umno - yang menurutnya, presiden PAS itu pernah menggelar mereka sebagai “kafir”.

Dr Mahathir yang juga bekas perdana menteri dipetik sebagai berkata: “Najib ini kafir menurut PAS dan Hadi pernah kata, jika kamu bekerjasama dengan kafir, kamu pun jadi kafirlah.

"Jadi sekarang dia bekerjasama dengan Umno dan pada suatu masa dengan DAP, dia sendiri pun kafirlah," kata Dr Mahathir.

Sementara itu Mohd Amar menjelaskan batas-batas iman dan kufur dalam isu kafir itu dengan menggunakan 'perumpamaan kentut'.

Katanya, seorang guru menyebut secara umum bahawa kentut akan membatalkan wuduk.

Misalnya kentut membatalkan wuduk, maaf bunyi agak kasar. Guru sebut sesiapa yang kentut wuduknya terbatal.

"Tak kiralah siapa pun. Jadi siapa yang kentut dia akan terasa.

"Teapi kita tak tuduh si anu si anu. Sebab ada orang tertentu yang terasa. Kita bagi tahu secara umum bagi sesiapa yang terkentut," jelasnya.

Justeru, katanya, sesiapa yang melanggar batas-batas iman dan kufur dia akan jatuh kafir.

"Jika orang Islam yang langgar ia akan terjadi (kafir)," katanya.

Lihat Komen
ADS